PKNS rancang bangunkan projek hartanah dengan GDV sehingga RM1 bilion

Dagang News
Julai 25, 2024 07:14 MYT
Sejak 60 tahun penubuhannya, PKNS telah membangunkan 11 perbandaran di Selangor dan membina lebih 160,000 rumah meliputi keluasan tanah lebih 64,000 hektar. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) rancang untuk membangunkan projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM800 juta hingga RM1 bilion pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mahmud Abbas berkata, PKNS menyasar untuk didorong secara komersial pada masa hadapan.
Beliau menjelaskan pembiayaan negeri telah dipotong manakala kewangannya perlu berkembang.
“PKNS membelanjakan kira-kira RM63 juta setahun untuk program korporat sosial, bagi menampung kos tersebut kami perlu menjual sekurang-kurangnya RM1.2 bilion hartanah setiap tahun.
“Tambahan pula, kami juga dalam persaingan segmen rumah mampu milik daripada pemaju lain.
"Kami rancang untuk meningkatkan pendapatan PKNS sebanyak RM2 bilion, iaitu empat kali ganda menjelang 2030 melalui pertumbuhan pelbagai perniagaan kami," ujarnya semasa majlis media pelaksanaan penjenamaan semula PKNS pada 8 Ogos bersempena ulang tahun ke-60.
Mahmud berkata PKNS bukan lagi hanya pemaju hartanah malah, melalui anak syarikatnya, perbadanan itu meneroka bidang seperti penjanaan kuasa, pengurusan sisa dan pembuatan peranti perubatan melalui Worldwide Holdings Sdn Bhd serta perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui Selgate Corp Sdn Bhd.
Selain itu, PKNS menjalankan dua projek utama yang akan membawanya ke peringkat seterusnya iaitu SA Sentral dan Taman Perindustrian Hijau (Grip) di Kota Puteri Crown City.
"Kami merancang untuk menyenaraikan beberapa bangunan komersial kami di bawah amanah pelaburan hartanah (REIT) di Bursa Malaysia pada awal tahun depan untuk mengumpul modal baharu bagi pembangunan CBD dan projek lain.
“Pelaburan ini juga akan menghasilkan pulangan sekurang-kurangnya 6%," kata Mahmud.
Sementara itu, perumahan kekal penting dalam model perniagaan PKNS.
Sejak 60 tahun penubuhannya, PKNS telah membangunkan 11 perbandaran di Selangor dan membina lebih 160,000 rumah meliputi keluasan tanah lebih 64,000 hektar.
Mahmud juga menekankan kerajaan negeri memerlukan PKNS membayar premium seperti pemaju lain, jadi kos tanahnya meningkat 10% hingga 15%.- DagangNews.com
#PKNS #GDV #Mahmud Abbas #projek hartanah