PKNS jangka catat keuntungan sehingga RM300 juta tahun ini - MB
Bernama
Mei 19, 2022 18:46 MYT
Mei 19, 2022 18:46 MYT
SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjangkakan mampu merekodkan peningkatan keuntungan sehingga RM300 juta pada tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata unjuran positif tersebut didorong oleh penyusunan semula pelaburan dan elemen korporat serta sumbangan daripada pembangunan baik yang dicatatkan sektor pembinaan.
"Kalau tahun lalu (2020) kita (PKNS) rugi dekat RM500 juta. Tahun 2021 kita untung dekat RM30 juta hingga RM40 juta. Tahun ini dijangkakan (keuntungan) sampai ratusan juta...lebih RM200 juta dan hingga RM300 juta.
"Ini menunjukkan pelan jangka pendek dan panjang kita berjalan dengan baik dan tahun ini kita menjangkakan (PKNS) boleh mencatatkan keputusan (prestasi kewangan) yang lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, pada Khamis.
Amirudin yang juga Pengerusi PKNS berkata pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lepas menyebabkan sebahagian kedudukan kewangan PKNS mencatatkan nilai negatif pada 2020 berikutan rosot nilai.
"Kita mengatasi masalah rosot nilai pada pelaburan yang dibuat dengan menyusun semula pelaburan tersebut walaupun ia hanyalah satu proses yang sederhana dan ringkas.
"Susulan proses penyusunan semula pada 2021, kita terus mencatatkan keuntungan. Ini menunjukkan kekuatan perniagaan PKNS masih ada," katanya.
Beliau berkata PKNS yang berusia 50 tahun telah mengalami banyak perubahan namun masih perlu melakukan penyusunan agar prestasi agensi pembangunan Selangor itu dapat berkembang seiring dengan perubahan semasa.
"PKNS harus keluar daripada zon selesa agar tidak hanya terkenal dalam sektor perumahan dan pembinaan malah boleh menawarkan perkara-perkara yang diminta dalam pasaran," katanya.
-- BERNAMA