Pinjaman di bawah bantuan bayaran balik meningkat kepada 27 peratus - Moody's
Bernama
September 13, 2021 15:11 MYT
September 13, 2021 15:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pinjaman di bawah bantuan bayaran balik berkaitan pandemik COVID-19 meningkat secara purata kepada 27 peratus daripada jumlah pinjaman antara Julai hingga Ogos 2021 berbanding 12 peratus pada Mac hingga Mei, demikian seperti dilaporkan enam bank terbesar di Malaysia.
Menurut Moody's Investors Service (Moody's), keadaan itu didorong oleh segmen runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memperluaskan program itu bagi menyokong kumpulan peminjam yang lebih menyeluruh, di samping pelanjutan kawalan pergerakan pada Jun.
"Meskipun ini akan menyebabkan kemerosotan kualiti aset bank, kita tidak meramalkan pinjaman tidak berbayar (NPL) akan meningkat ketara disebabkan kebanyakan pemohon skim ini dijangka mempunyai kemampuan kewangan mencukupi untuk membayar balik hutang mereka selepas program ini berakhir," katanya.
Moody's dalam komentar sektor bertajuk "Bank-bank di Malaysia: Pinjaman di bawah bantuan bayaran balik meningkat, namun, kemerosotan aset adalah terhad," berkata, enam bank terbesar itu adalah Hong Leong Bank Bhd, Public Bank Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd, RHB Group Bhd dan AmBank Group.
Semua pemohon individu dan PKS yang meminta penangguhan bayaran dan pengurangan bayaran ansuran pinjaman telah diluluskan secara automatik bermula 7 Julai 2021, tanpa memerlukan dokumen sokongan.
Sebelum ini, hanya permohonan daripada kumpulan isi rumah B40 dan perusahaan mikro diluluskan secara automatik.
"Kami jangka kebanyakan pinjaman di bawah bantuan bayaran balik ini akan berterusan apabila pendekatan selama enam bulan ini tamat.
"Menurut bank-bank ini, satu daripada alasan ini adalah, ketika banyak permohonan diterima pada Julai yang menunjukkan peminjam yang berdepan tekanan berkemungkinan meningkat, banyak pihak turut menghantar permohonan di bawah program ini untuk memanfaatkan syarat mudah dan membuat simpanan, bukan disebabkan mengalami masalah kewangan yang buruk," katanya.
Selain itu, Moody's menjelaskan, langkah tegas bagi membendung penularan COVID-19 yang ditamatkan secara berperingkat akan menyokong pertumbuhan ekonomi, menyebabkan kemampuan bayar balik bagi peminjam yang ketika ini berdepan masalah, mencatatkan peningkatan secara keseluruhan.
Jumlah peminjam telah berkurangan pada Ogos. Oleh itu, bank-bank ini tidak menjangka ia akan kembali meningkat.
Bagaimanapun, menurutnya sebahagian aset berisiko tidak berubah untuk jangka pendek.
Agensi penarafan itu berkata, bank pusat meramalkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada separuh kedua 2021, manakala kadar pengangguran masih tinggi iaitu pada 4.8 peratus sehingga Jun 2021.
Pemulihan ekonomi yang tidak menentu ini akan terus menjejaskan sebahagian peminjam yang bekerja dalam sektor yang terjejas teruk akibat pandemik.
"Pinjaman yang telah melalui pelbagai pusingan bantuan juga akan mudah terjejas.
"Bagaimanapun, bank akan terus meningkatan peruntukan pinjaman-kerugian," katanya.
Rizab kerugian pinjaman bagi keenam-enam bank ini, tidak termasuk rizab pengawalseliaan, meningkat kepada 166 peratus daripada purata pinjaman terjejas kasar pada akhir Jun 2021 daripada 106 peratus pada tahun sebelumnya.
Bank-Bank ini mempunyai penampan modal yang kukuh untuk menampung tekanan yang tidak dijangka, dengan purata Ekuiti Biasa Peringkat 1 pada 14 peratus sehingga akhir Jun 2021, tambahnya.
-- BERNAMA