Pindah milik tanah FELDA, JPM lantik firma audit forensik
Najib Aroff
Januari 4, 2018 19:11 MYT
Januari 4, 2018 19:11 MYT
Jabatan Perdana Menteri (JPM) melantik sebuah firma audit luar bagi melaksanakan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik FELDA.
“Firma audit ini akan menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan dengan projek ini.
“Ianya juga akan menilai semula proses pengawalan yang berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan FELDA ke atas FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC),” menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan terbaharu di blognya, NajibRazak.com.
“Tindakan undang-undang akan diambil jika siasatan firma audit luar dan polis menunjukkan adanya salah laku oleh mereka yang terbabit dalam projek ini yang telah dipersetujui pada tahun 2014," katanya.
Siasatan firma audit ini juga akan membabitkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dijangka siap dalam tempoh 30 hari dan laporan penuh akan dikemukakan kepada JPM.
“Pelantikan firma audit ini adalah susulan arahan saya kepada FELDA dalam satu surat bertarikh 11 Disember 2017 untuk menentukan sama ada berlakunya ketidakpatuhan kepada tatacara sedia ada atau berlakunya unsur-unsur salah guna kuasa dan perlakuan rasuah berkaitan projek KLVC," tambahnya.
Dalam surat tersebut yang dihantar kepada Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Perdana Menteri turut mengarahkan FELDA untuk membuat laporan polis terhadap SPSB berhubung jenayah penipuan serta mengambil tindakan undang-undang untuk penipuan sivil bagi pemindahan hak milik tanah FELDA tanpa pengetahuan dan kebenaran.
“Saya telah mengarahkan tindakan-tindakan ini diambil bagi melindungi kepentingan FELDA dan peneroka, tidak dikompromi dan bagi memastikan tanah-tanah tersebut terus kekal menjadi milik FELDA," kata Najib.
#Datuk Seri Najib Tun Razak
#DBKL
#Felda
#KLVC
#Kuala Lumpur
#Kuala Lumpur Vertical City
#Najib Razak
#Perdana Menteri
#Shahrir Abdul Samad
#Synergy Promenade Sdn Bh