Pindaan Akta Kerja meresahkan golongan majikan - Pengarah Eksekutif MEF

Faida Rahim
Disember 23, 2022 14:15 MYT
Shamsudin berharap pihak Kerajaan meneliti semula pelaksanaan pindaan ini yang dilihat memberi cabaran hebat buat para majikan. - Foto Astro AWANI/Facebook/ Malaysian Employers Federation
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Kerja 1955 dilihat memberi keuntungan kepada golongan pekerja namun meresahkan para majikan di negara ini.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsudin Bardan memaklumkan, golongan majikan bakal berdepan dengan peningkatan kos pengurusan bermula 1 Januari depan.
“Dalam hal ini, saya lihat pekerja yang untung tetapi pihak majikan perlu hadapi peningkatan kos. Pihak kami tidak membangkang dalam menyaksikan peningkatan faedah tetapi waktu pelaksanaan akta ini perlu dilakukan secara berperingkat dan bukan serentak.
“Tahun 2022, kita menyaksikan majikan perlu menaikkan gaji minimum kakitangan. Di situ sahaja, kos keseluruhan adalah sebanyak RM4 bilion bermula 1 Mei lalu.
“Tidak salah peningkatan faedah tetapi biarlah berperingkat dan perlu ikut kemampuan majikan sebenarnya,” katanya dalam program Pantau Kerajaan Baharu, hari ini.
Pindaan Akta Pekerja bermula 1 Januari 2023 meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan.
Dalam masa sama, Shamsudin berharap pihak Kerajaan meneliti semula pelaksanaan pindaan ini yang dilihat memberi cabaran hebat buat para majikan.
“Kita berharap kerajaan dapat melihat semula terutama pengurangan waktu bekerja yang dianggap sesuatu yang amat berat kepada majikan. Ini kerana mereka terpaksa mengeluarkan kos untuk pekerja yang diminta bekerja melebih 45 jam seminggu berbanding sekarang, 48 jam seminggu.
“Dalam keadaan ini, kita kena lihat sama ada pasaran kerja kita dalam keadaan kompetitif atau sebaliknya. Malaysia kini berada di kedudukan ke 32 berbanding 25 pada tahun lalu dalam 64 senarai negara.
“Kedudukan Malaysia saban tahun semakin menurun dan ia bukan bertambah baik,” katanya.
#Datuk Shamsudin Bardan #Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia #Pindaan Akta Kerja 1955 #MEF
;