Pilih Malaysia sebagai hab, tembusi pasaran lebih luas - PM

Irfan Faruqi
Mac 14, 2024 08:00 MYT
Anwar beramah mesra dengan Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck ketika mengadakan pertemuan sebelum menyampaikan ucaptama pada acara tahunan SME Future Day 2024 di Berlin, 14 Mac 2024. --fotoBERNAMA
BERLIN: Malaysia merupakan hab strategik untuk mana-mana syarikat yang ingin meluaskan pasaran ke Barat, Eropah atau Timur, khususnya bagi menembusi pasaran China.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mempunyai dasar ekonomi yang jelas dan keupayaan untuk menyediakan segala fasiliti perniagaan bagi membantu melonjakkan pulangan ekonomi yang baik.
Menurut Anwar, kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada keyakinan yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat Jerman yang sudah lama bertapak dan menjalankan operasi di Malaysia.
“Pastinya kami terbuka untuk rundingan. Bagi anda yang mahu menembusi pasaran China, maka anda perlukan pangkalan penting di Malaysia.
"Kami akan sediakan pangkalan itu untuk eksport, seperti yang telah dilakukan oleh Volkswagen, Airbus, Siemens dan Infineon untuk kekalkan Malaysia sebagai hab yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada acara Zukunftsag Mittelstand atau Hari Masa Depan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Future Day) anjuran Pertubuhan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) pada Rabu.
Jelas Perdana Menteri, keupayaan Malaysia menawarkan peluang pelaburan dan perdagangan yang lumayan itu adalah kerana dasar ekonomi yang jelas dan memandang jauh kehadapan.
“Dalam Kerangka Ekonomi Madani kita letakkan sasaran peralihan tenaga yang jelas. Malaysia akan menjadi hab utama di rantau asia tenggara untuk teknologi hijau; hidrogen dan ammonia.
“Bahkan tenaga hidro yang dijana pada skala besar, mungkin yang terbesar di rantau asia tenggara, sehingga boleh dieksport ke ibu negara baharu Indonesia. Ini termasuk kabel bawah laut untuk tenaga hidrogen yang dibekalkan dari Sarawak ke Singapura dan Semenanjung Malaysia.
“Ini bermakna kami ada jumlah tenaga yang sangat banyak. Tenaga hijau menjadi keutamaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar juga menjelaskan kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab operasi bagi syarikat asing adalah kerana sumber tenaga mahir yang dimiliki negara.
“Apabila ditanya kenapa syarikat-syarikat Jerman memilih Malaysia, selain daripada aspek keamanan dan dasar ekonomi yang jelas, mereka katakan pemilihan itu adalah kerana tenaga buruhnya yang berbahasa Inggeris, disiplin, dan dilatih dengan baik.
“Kita perlu tumpuan dan keutamaan kepada keperluan industri baharu. Kita perlu beri tumpuan kepada latihan tambahan dalam bidang teknologi maklumat (IT), transformasi digital dan tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal dan vokasional serta kejuruteraan. Malaysia sedang lakukan hal ini,” ujarnya.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa segala kelebihan yang ada pada Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang berkembang sihat dan destinasi pelaburan yang menarik adalah kerana keamanan yang dikecapi.
Di samping itu, Malaysia juga mampu menarik minat syarikat-syarikat asing untuk melabur adalah kerana hubungan yang baik dimiliki Malaysia dengan negara-negara lain.
“Mengapa kami mampu terus hidup di Asia Tenggara adalah kerana kita ada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Pastinya majoritinya Muslim, tetapi kami tidak abaikan etnik dan agama lain, sebaliknya kami berkerjasama.
“Di utara ada Thailand dengan majoriti beragama Buddha. Di Selatan ada Singapura. Di timur ada Filipina dengan majoriti beragama Kristian. Tetapi kami bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Perbezaan tidak menghambat kami. Inilah semangat kebersamaan, nilai universal yang membolehkan kami capai keamanan di rantau ini, seterusnya melonjakkan rantau ini dengan pertumbuhan ekonomi paling pantas di dunia,” tambahnya.
#Anwar Ibrahim #Jerman #China #pelaburan
;