Pharmaniaga akan perluas pasaran vaksin ke Asia Tenggara dan Afrika
Eton Khir
Ogos 26, 2021 20:03 MYT
Ogos 26, 2021 20:03 MYT
KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), akan memperluaskan pasaran vaksin Sinovac ke Asia Tenggara dan Afrika dalam memerangi COVID-19.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, inisiatif ini berikutan kejayaan Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) dalam memenuhi permintaan vaksin di Malaysia dan mendapat banyak permintaan dari negara luar.
"Dengan lebih daripada 700 juta penduduk Asia Tenggara dan 1.3 bilion penduduk Afrika, kami ingin fokus memasarkan vaksin ke kawasan tumpuan terbabit.
"Pihak kami juga, sedang dalam perbincangan bersama PLS untuk memudahkan dan mengatasi isu pembekalan terhad, sekali gus memberikan bekalan vaksin ke negara tersebut," katanya ketika sidang media Pharmaniaga secara maya menerusi aplikasi Zoom, pada Khamis.
Tambah Zulkarnain, pertambahan bilangan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini, memberikan gambaran bahawa Pharmaniaga harus memastikan bekalan vaksin tersebut tiba tepat pada masanya agar dapat mempecepatkan program vaksinasi di negara terbabit.
Sementara itu, Zulkainain turut berkata, Pharmaniaga kini sedang berusaha menerajui vaksinasi halal di dunia.
"Kerana kita sedang berusaha untuk memberikan vaksin halal kepada Malaysia dan dunia. Jadi, ini adalah langkah yang baik untuk kita memahami tentang vaksin dan kita akan mewujudkan kefahaman vaksinasi di negara kita," katanya.
Dalam pada itu, Pharmaniaga bersedia untuk penghasilan lebih banyak dos vaksin Sinovac sehingga empat juta dos sebulan bagi memenuhi keperluan di Malaysia dan juga negara luar.