PH perkenal dasar baharu dalam Kajian Separuh Penggal RMK-11 - Azmin
Bernama
Oktober 1, 2018 05:52 MYT
Oktober 1, 2018 05:52 MYT
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memperkenalkan strategi baharu yang berasaskan manifestonya berhubung hala tuju ekonomi negara pada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Parlimen, 18 Okt ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata strategi-strategi itu sedang diteliti secara terperinci oleh Unit Perancang Ekonomi.
Kerajaan masih akan membentangkan laporan kemajuan dalam tempoh dua tahun pertama RMK11 namun kali ini akan turut dibentangkan strategi baharu dalam menentukan hala tuju dasar ekonomi negara menurut manifesto PH, katanya pada sidang media, di sini pada Isnin.
Terdahulu Mohamed Azmin mempengerusikan sesi pemukiman keenam bersempena Mesyuarat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) peringkat Menteri ke-24 di Bandar Hilir di sini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Adly Zahari; Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia Darmin Nasution; dan Menteri Pengangkutan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith.
Mengulas pemukiman itu, beliau berkata pihaknya yakin kerjasama erat antara negara anggota IMT-GT berupaya mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, akan datang.
Katanya Malaysia sedia bekerjasama dengan kedua-dua negara itu bagi memastikan keadaan ekonomi serantau terus stabil dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.
"Bergerak ke depan, memacu ke arah subrantau tanpa had, inklusif dan mampan menjelang 2036.
"Subrantau ini tidak harus bersaing antara satu sama lain, tetapi memastikan kemajuan berterusan dengan satu matlamat iaitu memanfaatkan penduduk," katanya.
Mesyuarat tersebut membabitkan 224 peserta termasuk pemimpin dan menteri dari ketiga-tiga negara bermula hari ini sehingga Rabu.
-- BERNAMA
#Azmin Ali
#ekonomi
#IMT-GT
#Indonesia
#Kajian Separuh Penggal
#Malaysia
#Manifesto
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Rancangan Malaysia ke-11
#revolusi industri 4 0
#RMK11
#sesi pemukiman
#strategi
#Thailand
#Unit Perancang Ekonomi