Petronas umum penemuan gas di perairan cetek Balingian

Rudi Affendi Khalik
Januari 8, 2022 11:29 MYT
Gas tersebut ditemui di telaga cari gali 'wildcat' Hadrah-1, Blok SK411 yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian, kira-kira 170 kilometer barat laut dari pesisir Sarawak. - Gambar hiasan
KUCHING: Balingian terus mendapat perkhabaran gembira apabila pencarian di telaga cari gali 'wildcat', sekali lagi berjaya menemui gas.
Khabar gembira tersebut diumumkan Naib Presiden Cari Gali Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley di Kuching semalam.
Emeliana berkata, gas tersebut ditemui di telaga cari gali 'wildcat' Hadrah-1, Blok SK411 yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian, kira-kira 170 kilometer barat laut dari pesisir Sarawak.
“Usaha tersebut dilaksanakan anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd.
Setakat November tahun lalu katanya, Telaga Hadrah-1 telah digerudi sehingga kedalaman 1,850 meter.
“Gas tersebut ditemui dalam jujukan tebal batu pasir dan takungan karbonat berkualiti tinggi, pada kira-kira 200 meter,” katanya.
Penemuan ini jelas Emeliana, memberi harapan positif bahawa akan ada penemuan lain akan ditemui di kawasan yang belum diterokai di kawasan Balingian seperti Kitaran I, II dan III; dan ini membayangkan kawasan ini boleh dikomersialkan.
“Kualiti takungan terbaik yang ditemui menandakan baki kawasan yang belum diterokai dan dimanfaatkan di Blok SK411 dan SK306 juga memiliki potensi yang tinggi.
PCSB jelasnya, kini berada pada kedudukan terbaik untuk meneruskan usaha ini, yang diyakini menawarkan lebih banyak gas asli, dan bahan api fosil yang bersih dan selamat.
Penemuan kawasan ini merupakan kejayaan ketiga Petronas di kawasan tersebut pada 2021 selepas Sirung-1 ditemui pada Mac dan Kulintang-1 pada Mei. Pada 2019, minyak dan gas ditemui di kawasan medan D18.
BACA: Petronas umum penemuan gas kedua di perairan cetek Balingian, Sarawak
PCSB merupakan pengendali blok ini, dengan 90 peratus kepentingan manakala bakinya dimiliki E&P Malaysia Venture Sdn Bhd.
#gas #Petronas #telaga cari gali #perairan cetek
;