PETRONAS terus komited bekal tenaga komoditi mampan, sokongan hala tuju jelas daripada kerajaan

Haikal Raman
Jun 28, 2023 15:41 MYT
Persidangan yang disertai peneraju industri, pakar, pelabur dan penggubal dasar terkemuka dunia tersebut membincangkan tentang cara Asia boleh mempercepatkan laluan karbon rendah dan melancarkan potensi baharu untuk sektor tenaga rantau ini.
KUALA LUMPUR: Sokongan berterusan daripada kerajaan dan komuniti kewangan sangat diperlukan untuk memperkukuhkan usaha syarikat minyak nasional, PETRONAS, dalam memastikan bekalan tenaga komoditi mampan negara.
Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan ketika sesi diskusinya dalam persidangan Energy Asia 2023 semalam berkata, ia meliputi hala tuju jelas dan fokus penggubal dasar terhadap keperluan industri komoditi.
Tambahnya, komuniti kewangan juga berperanan memberi sokongan menerusi pemberian pinjaman, kerana tanpa dana syarikat tidak mampu melaksanakan kerja-kerja dalam memastikan kelestarian bekalan sumber kepada negara.
“Syarikat sering disalahkan sekiranya berlaku kekurangan bekalan, namun apa yang kita perlukan adalah pembangunan yang konsisten.
“Para pengendali memerlukan persekitaran pelaburan yang kondusif, apabila mereka melabur pastinya mereka inginkan pulangan yang pasti.
"Oleh demikian, pengawalseliaan yang kita sediakan adalah kepastian (certainty) atau pulangan semua kontrak jiran yang sama sekali berbeza yang kami kongsi,” katanya di sini pada Rabu.
PETRONAS menjadi tuan rumah acara sulung Energy Asia 2023 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Persidangan yang disertai peneraju industri, pakar, pelabur dan penggubal dasar terkemuka dunia tersebut membincangkan tentang cara Asia boleh mempercepatkan laluan karbon rendah dan melancarkan potensi baharu untuk sektor tenaga rantau ini.
Menurut Mohamed Firouz, pasaran menyaksikan pemulihan komoditi negara berlaku sangat baik selepas pandemik COVID-19, semua pihak meminta untuk penghasilan minyak dan gas yang lebih banyak.
Komitmen berterusan PETRONAS bekal tenaga komoditi mampan
“Namun realitinya bekalan bukan merupakan perkara pokok, kerana melihat daripada pendirian teknikal kita mampu melakukan perkara yang tidak boleh dibuat beberapa tahun lalu atau malah bertahun-tahun lalu.
“Ini kerana, dengan teknologi penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS) kita dapat mengoptimumkan penghasilan komoditi oleh syarikat,” ujarnya.
Tambah beliau, meskipun terdapat peningkatan terhadap pelaburan global dalam penerokaan minyak dan gas pada tahun 2021 serta 2022, penghasilan masih direkodkan rendah di- bawah dapatan puncak ketika 2014.
“Ketika ini nilai minyak mencatatkan sejarah kemajuan peningkatan dalam pelaburan yang baik, namun kebimbangan iklim, tekanan pemegang saham juga risiko aset-aset terkandas mendorong kepada harga serta pelaburan sektor penerokaan dan pengeluaran (E&P) melemah.
“Dalam masa sama, usaha transisi tenaga global yang dipercepatkan turut menyumbang kepada peralihan dalam fokus pelaburan dan bekalan sumber setelah pengeluar minyak antarabangsa (IOC) dan syarikat minyak kebangsaan (NOC) kini beralih kepada segmen baharu pertumbuhan rendah karbon.
“Malah, kadar pelaburan berterusan yang rendah memberi kesan kepada tempoh defisit bekalan dan ketidaktentuan pasaran,” jelasnya.
Persidangan Energy Asia dengan tema ‘Merintis Masa Depan Kelestarian Tenaga di Asia’ itu diwujudkan secara bersama oleh Rakan Pengetahuan, CERAWeek oleh S&P Global.
#Energy Asia 2023 #Petronas #Mohamed Firouz Asnan #Pengurusan Petroleum Malaysia
;