Petronas terbuka kerjasama dengan Petros, tunggu perincian
Hasimi Muhamad
Februari 25, 2025 17:10 MYT
Februari 25, 2025 17:10 MYT
Tengku Muhammad Taufik berkata, pihaknya sedang menunggu butiran yang akan dipersetujui secara prinsip, oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kekal terbuka untuk bekerjasama dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, pihaknya sedang menunggu butiran yang akan dipersetujui secara prinsip, oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengejar pembangunan.
“Ia perlu dilakukan dengan teliti, dan tepat. Peranan pengagregator semasa bukan hanya komersial, ia juga melibatkan aspek fizikal.
“Dan, saya rasa kami akan melakukan ini dengan berhati-hati.
“Kami ingin memastikan bahawa kepentingan kedua-duanya, seperti yang disebutkan oleh menteri, iaitu (kepentingan) Kerajaan Persekutuan dan Negeri, dijaga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media spengumuman Prestasi Kewangan Kumpulan Petronas, di sini pada Selasa.
Beliau menambah, Petronas bersikap konstruktif dalam menjalin kerjasama, dan mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, perbincangan antara Petronas dan Petros dijangka menyentuh aspek kerjasama terutamanya melibatkan projek baharu yang akan diterokai oleh kedua-dua syarikat terbabit dalam apa jua bidang.
Isnin lepas, Anwar pada sesi penerangan di Dewan Rakyat berkata Kerajaan Persekutuan memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri berkenaan.
Perdana Menteri menjelaskan hasrat itu termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO), yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.