Petronas tegaskan asas kukuh kekal walaupun penarafan diturunkan Moody's
Bernama
Jun 21, 2019 23:17 MYT
Jun 21, 2019 23:17 MYT
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menegaskan asas kukuhnya kekal tidak berubah walaupun penarafan kreditnya diturunkan oleh Moody's Investors Service.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat minyak negara itu berkata ia secara konsisten mengekalkan dasar kewangan konservatif dan imbangan tunai bersih yang sihat yang membolehkannya menahan ketidaktentuan dan kejutan dalam pasaran.
"Ini ditunjukkan oleh keputusan kewangan Petronas pada suku pertama (Q1) 2019 dan tahun penuh 2018, yang disokong oleh usaha berterusan kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kecemerlangan komersial," katanya.
Keuntungan selepas cukai Petronas berkembang 9 peratus tahun ke tahun kepada RM14.2 bilion pada Q1 2019 dipacu hasil 7 peratus lebih tinggi sebanyak RM62 bilion.
Moody's hari ini mengumumkan bahawa ia telah menurunkan penarafan penerbit domestik Petronas dan mata wang asing senior tidak bercagar kepada A2 (stabil) daripada A1 (negatif).
Pengumuman itu dibuat selepas penerbitan metodologi rentas sektor yang dikemas kini, "Menilai Impak Kualiti Kredit Kerajaan pada Penilaian Lain", pada 20 Jun.
Di bawah metodologi baharu itu, Petronas berkata, adalah tidak mungkin untuk syarikat itu diberi penarafan dua kedudukan melepasi kedaulatannya.
Berdasarkan penilaian Moody yang dikemas kini, Petronas tidak lagi memenuhi satu daripada ciri yang diperlukan untuk meningkatkan dua kedudukan melepasi kedaulatan Malaysia (stabil A3).
Ini disebabkan hubungan kredit syarikat dengan kerajaan Malaysia sebagai pemegang saham tunggalnya dan bahawa Moody's tidak dapat menolak kemungkinan permintaan dividen tinggi pada masa depan, katanya.
Petronas berkata tindakan penarafan itu juga dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung kesan negatif ke atas syarikat yang mungkin timbul daripada perbincangan yang sedang berlangsung berkaitan dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Penarafan A2 (stabil) Petronas kini satu kedudukan melepasi kedaulatan didorong oleh kekukuhan metrik kewangan, dasar kewangan konservatif, profil mudah tunai kukuh dan rizab hidrokarbon yang ketara, tambahnya.
-- BERNAMA
#dasar kewangan
#dividen
#hubungan kredit
#imbangan tunai bersih
#kecekapan operasi
#Keuntungan selepas cukai
#metodologi rentas sektor
#Moody's
#Moody's Investors Service
#penarafan
#Petronas