Petronas sedia bantu Uzbekistan dalam sektor petrokimia, tenaga bersih - Kenyataan

Firdaus Azil
Februari 5, 2025 14:16 MYT
Dalam satu kenyataan bersama kedua-dua pemimpin pada Rabu, negara Timur Tengah itu ingin menjalinkan kerjasama dalam sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau. - Kredit: Fath Rizal / Pejabat Perdana Menteri Malaysia
PUTRAJAYA: Kerajaan Uzbekistan telah menzahirkan minat untuk meneroka kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Dalam satu kenyataan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev pada Rabu, negara Timur Tengah itu ingin menjalinkan kerjasama dalam sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau.
Kenyataan itu menyebut Petronas juga berbesar hati untuk menjayakan inisiatif tersebut, dengan menyediakan kepakaran daripada sudut sokongan teknikal, pertukaran maklumat dan konsultansi dalam bidang berkepentingan.
“Pada masa yang sama (Petronas) meneroka peluang untuk pelaksanaan bersama dalam projek pelaburan demi keuntungan kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu Mirziyoyev yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Rabu.
Mirziyoyev, yang tiba di sini pada Selasa untuk lawatan sulungnya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Disember 2016, akan membincangkan kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan.
Kehadiran beliau adalah susulan lawatan rasmi oleh Anwar ke Uzbekistan pada Mei tahun lepas.
Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menilai prospek pengwujudan zon industri Uzbekistan-Malaysia di negara itu, yang bakal memperkenalkan amalan dan kepakaran terbaik dalam pembangunan dan operasi kawasan perindustrian.
Langkah itu menurut mereka bakal menyuburkan kerjasama dalam menarik penyertaan syarikat pengurusan, pengurus kawasan, dan pelabur lain dalam perancangan dan pembangunan zon industri tersebut.
Menuju ke hadapan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menekankan kepentingan kerjasama ekonomi dalam sektor utama seperti tenaga boleh diperbaharui, industri halal digitalisasi, kecerdasan buatan dan pembangunan syarikat pemula dan bandar pintar, dan juga industri kelapa sawit.
Langkah itu penting untuk menghasilkan keuntungan bersama bagi kedua-dua negara, menurut mereka.
#Hubungan dua hala #Malaysia #Uzbekistan #Petronas
;