Petronas raih untung selepas cukai RM23.44 bilion pada suku pertama 2022
Bernama
Mei 31, 2022 21:00 MYT
Mei 31, 2022 21:00 MYT
KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai Petronas bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 melonjak kepada RM23.44 bilion berbanding RM9.22 bilion pada setahun lepas, seiring dengan kenaikan hasil susulan aliran peningkatan harga yang sebahagiannya diimbangi oleh pertambahan kos produk serta cukai.
Perolehan hasilnya mencecah RM78.75 bilion daripada RM52.55 bilion setahun lepas dengan sebahagian besar disumbangkan oleh impak harga produk utama yang seiring dengan kenaikan harga penanda aras, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
"Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan berjumlah RM39.55 bilion, terutama berikutan peningkatan hasil yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan kos produk.
"Aliran tunai daripada aktiviti operasi berjumlah RM27.88 bilion dan sejajar dengan peningkatan tunai daripada operasi (suku pertama tahun kewangan 2021: RM14.29 bilion).
"Pelaburan perbelanjaan modal (capex) secara keseluruhannya pada RM7.4 bilion (suku pertama tahun kewangan 2021: RM6.64 bilion) yang mana capex domestik meningkat hampir 30 peratus.
"Aktiviti huluan kekal sebagai penyumbang utama dalam perbelanjaan capex secara menyeluruh. Jumlah aset meningkat kepada RM652.3 bilion setakat 31 Mac, 2022 berbanding RM635 bilion sehingga 31 Dis, 2021 dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pelaburan tunai serta dana," katanya.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata biarpun prestasi syarikat minyak dan gas negara itu bagi suku pertama tahun kewangan 2022 telah "banyak mendapat manfaat daripada persekitaran harga yang lebih tinggi, ini juga membuktikan penyampaian berdisiplin dari segi teras dan strategi pertumbuhannya."
"Kumpulan ini telah memanfaatkan kekuatan portfilio bersepadunya bagi menawarkan tenaga yang selamat serta mampan untuk Malaysia dan pelanggan kami di serata dunia," katanya.
Beliau berkata, di sebalik tahap pemulihan dan pertumbuhan yang dijangkakan susulan pembukaan semula ekonomi, Petronas akan terus melaksanakan pengurusan kewangan secara berhemat dengan fokus kukuh terhadap pelaburan semula, susulan prospek berhati-hati akibat keadaan geopolitik yang tidak menentu serta peralihan tenaga yang lebih ketara.
Malah, beliau berkata Petronas akan terus memupuk ekosistem perkhidmatan dan kelengkapan minyak dan gas yang kukuh bagi menguatkan lagi daya tahan dalam memberi tindak balas terhadap cabaran selain menyumbang secara berkesan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.
"Untuk terus mencatat kemajuan bagi strategi pertumbuhan serampang tiga mata dan pelepasan karbon sifar menjelang 2050, kami juga berazam untuk meneruskan langkah itu selaku rakan tenaga dan penyelesaian yang progresif untuk para pemegang kepentingan baik di peringkat domestik serta lokasi operasi kami," katanya.
Walaupun mencatat prestasi suku pertama yang memberangsangkan, Petronas berkata "peningkatan harga minyak dan gas dijangka kekal tidak menentu" dan seiring dengan ketidakpastian akibat geopolitik serta makroekonomi.
"Petronas akan terus memperkukuh kecemerlangan operasi untuk memaksimumkan usaha penciptaan nilai sambil mempertingkat agenda pertumbuhan dan kemampanan di Malaysia serta di peringkat global," katanya.
-- BERNAMA