Petronas penuhi permintaan tenaga bersih global melalui Gentari
Dagang News
Jun 16, 2022 11:40 MYT
Jun 16, 2022 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Petronas hari ini memperkenalkan Gentari Sdn Bhd (Gentari) bagi mempercepatkan penerimagunaan dan pengkomersilan tenaga bersih.
Entiti baharu itu berhasrat menyediakan satu rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau yang selamat, bertanggungjawab, kos teroptimum serta pengurangan pelepasan karbon, berasaskan pendekatan bersepadu merentasi rantaian nilai tenaga bersih untuk pelanggan global.
Pengerusi Gentari, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, Gentari akan menawarkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih untuk memenuhi keperluan tenaga dan aspirasi karbon rendah Malaysia, serta pelanggannya di dalam dan luar negara.
"Dengan satu pasukan khusus yang fokus terhadap bekalan, pengedaran dan penjualan runcit tenaga bersih, kami berhasrat untuk merebut peluang dalam pasaran tenaga karbon rendah dengan menawarkan penyelesaian dan sistem pada harga berpatutan serta mudah diakses dengan membolehkan skala pengeluaran dan memudahkan kebolehsediaan infrastruktur.
“Dengan mempertingkatkan kemajuan yang telah dicapai oleh Petronas setakat ini menerusi Perniagaan Tenaga Baharu yang sedia ada, dan memperluaskan usaha sama dengan pembekal tenaga dan teknologi generasi mendatang, Gentari akan mendapat manfaat dari kapasiti dan sumber tersedia dalam pencarian tenaga bersih berskala industri, bermula dengan Malaysia dan Asia Pasifik.
"Kami berhasrat memenuhi keperluan tenaga hari ini dan pada masa hadapan dengan penyelesaian tenaga bersih yang mendorong kemajuan dalam cara yang lebih seimbang dan lestari," katanya dalam satu kenyataan.
Pada peringkat permulaan, menjelang 2030, Gentari berhasrat untuk:
- Membina kapasiti tenaga boleh diperbaharui di antara 30-40 GW, khususnya menerusi solar dengan peluang tambahan dalam tenaga angin dan simpanan bateri.
- Membekalkan hidrogen sehingga 1.2 juta tan setahun (mtpa) dengan memanfaatkan kecekapan di dalam membangunkan projek-projek besar untuk mencapai skala sebagai pengeluar hidrogen berkarbon rendah bermula dengan projek-projek di Malaysia.
- Menjadi pembekal penyelesaian mobiliti hijau pilihan dan menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan menguasai 10% jumlah pasaran (25,000 kemudahan pengecasan berdasarkan anggaran semasa) merentasi pasaran utama di Asia Pasifik terutamanya Malaysia dan India.
Kebebasan diberikan kepada Gentari untuk menumpukan kepada penyediaan penyelesaian tenaga bersih secara berinovasi sambil mencari peluang pendanaan bagi mempercepatkan perkembangan perniagaan di dalam usaha memenuhi permintaan sedia ada dan meneroka teknologi tenaga yang baharu.
Nama Gentari diperoleh menerusi gabungan perkataan Bahasa Inggeris generation (generasi) atau to generate (menjana) dan perkataan Bahasa Melayu lestari.
Gabungan perkataan dari dua bahasa ini menyampaikan intipati misi Gentari untuk membekalkan dunia dengan tenaga yang dihasilkan secara lestari dan diperoleh secara bertanggungjawab, seterusnya memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengubah gaya hidup hari ini dan maju ke hadapan.
Aset tenaga bersih dan projek syarikat termasuk:
- kapasiti solar melebihi 1 GWp di India dan Malaysia
- sebilangan projek pengeluaran hidrogen bersih yang dibangunkan di Malaysia dan beberapa pasaran utama bersama rakan-rakan kongsi; yang mana projek pertama disasarkan bermula pada 2025
- lebih daripada 220 kenderaan elektrik di bawah model Vehicle-as-a-Service (VaaS) (Kenderaan Sebagai Perkhidmatan) dan mengembangkan lebih kurang 170 rangkaian kemudahan pengecasan sedia ada di India dan Malaysia.
Dengan penyelesaian sedia ada dalam portfolionya, GENTARI komited untuk memudahkan lagi pelaksanaan proses sifar bersih untuk para pelanggan sambil membangunkan pasaran tenaga bersih secara keseluruhan dengan melabur dan sentiasa berinovasi bersama rakan niaga untuk mencapai hasil yang lebih memberangsangkan. - DagangNews.com