Petronas pasang pemanas minyak mentah bagi kompleks penapisan di PIC
Bernama
Januari 22, 2017 07:15 MYT
Januari 22, 2017 07:15 MYT
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjaya memasang dua relau modular untuk kompleks penapisannya yang kini dalam pembinaan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor.
Dalam kenyataan pada Ahad, Naib Presiden Kanannya, Ir Dr Colin Wong Hee Huing, berkata relau itu, yang biasanya dikenali sebagai pemanas minyak mentah, merupakan komponen penting dalam unit penyulingan mentah dan dalam menyediakan saluran bagi unit pemprosesan lain di kompleks penapisan.
"Kejayaan pemasangan dua pemanas minyak mentah yang sama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam keseluruhan pembangunan PIC," katanya.
Wong, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corp Sdn Bhd, berkata pemanas minyak mentah itu, dengan nama kod F-001 A dan B, dibina di kemudahan Liantong di Ningbo, China.
"Masing-masing dengan berat kira-kira 1,000 tan dan mempunyai kapasiti pemprosesan 150,000 tong sehari (bpd)," katanya.
Beliau berkata dua pemanas minyak mentah ini juga merupakan pemanas yang terbesar di Malaysia.
"Apabila siap, kompleks penapisan PIC akan mempunyai kapasiti penapisan sebanyak 300,000 bpd," katanya. -- Bernama