Petronas nafi spekulasi penggabungan Sapura Energy, MHB
Bernama
Mei 29, 2023 12:00 MYT
Mei 29, 2023 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini menafikan spekulasi mengenai penggabungan antara Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) dan Sapura Energy Bhd.
Dalam kenyataannya, syarikat minyak dan gas negara itu berkata sebarang pertimbangan berkaitan pelaburan atau penjualan dalam kumpulan Petronas adalah sentiasa dan akan terus berpandukan kepada kelulusan di peringkat Lembaga Pengarah dan rangka kerja pengurusan yang dipertingkatkan.
Laporan media pada awal bulan ini menyatakan penggabungan antara Sapura Energy dan MHB, unit tidak langsung Petronas, berkemungkinan berlaku sekiranya perbincangan awal mengenai cadangan itu terbukti membuahkan hasil.
Memetik sumber, media terbabit mendakwa pemegang saham majoriti Sapura Energy dan MHB iaitu masing-masing Permodalan Nasional Bhd dan Petronas sedang "dalam peringkat mempertimbangkan" penggabungan kedua-dua penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu, namun menegaskan perbincangan terbabit masih di "peringkat awal."
-- BERNAMA