Petronas menangi lapangan Sepia dalam pusingan bidaan di Brazil
Bernama
Disember 18, 2021 11:11 MYT
Disember 18, 2021 11:11 MYT
KUALA LUMPUR: Petronas Petroleo Brasil Ltda. (PPBL), anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan rakan kongsi konsortiumnya memenangi lapangan Sepia, terletak di Lembangan Santos, dalam Pemindahan Kedua Pusingan Bidaan Jumlah Lebihan Hak Brazil yang diadakan di Rio de Janeiro.
Susulan bidaan yang berjaya ini, Petronas akan memegang kepentingan sebanyak 21 peratus bersama pengendali Petrobras (30 peratus), TotalEnergies (28 peratus) dan QatarEnergy (21 peratus).
Keputusan itu diumumkan secara terbuka oleh Brazilian National Agency of Petroleum, Natural Gas and Biofuels (ANP) dalam siaran langsung.
"Petronas amat gembira dengan keputusan pusingan bidaan itu yang menandakan kemasukan kami ke Lembangan Santos.
"Ini menunjukkan komitmen kami untuk mengukuhkan usaha niaga kami di Brazil yang menawarkan lembangan paling prolifik di dunia.
"Mewujudkan kedudukan kami di benua Amerika adalah sejajar dengan strategi pertumbuhan kami di peringkat global.
"Walaupun kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami, bersama dengan sokongan daripada kerajaan pusat, Petronas akan terus memberi tumpuan kepada usaha untuk mencapai pewujudan nilai selain meneruskan usaha penyahkarbonan kami untuk membangunkan dan mengewangkan lapangan Sepia secara mampan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik dalam kenyataan.
Sepia adalah lapangan minyak pra-garam di Lembangan Santos, terletak pada kedalaman kira-kira 2,000 meter di luar pantai Rio de Janerio dan telah memulakan pengeluarannya pada Ogos 2021 melalui unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) sebanyak 180,000 tong sehari.
FPSO kedua dijangka akan mendapat kelulusan tidak lama lagi yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran lapangan itu secara keseluruhannya.
PPBL kini mempunyai minat untuk mengambil bahagian dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Modul III di lapangan laut dalam Espadarte (Konsesi Espadarte) yang terletak di Lembangan Campos, luar pesisir Brazil.
Ia turut memegang kepentingan penyertaan dalam tiga blok cari gali laut dalam lain di Lembangan Campos, (C-M-661, C-M-715 dan C-M-541) yang telah dianugerahkan pada Pusingan Bidaan Cari Gali Konsesi 16 Brazil pada 2019.
-- BERNAMA