Petronas menang bidaan cari gali blok Agua Marinha di Brazil
Bernama
Disember 20, 2022 13:14 MYT
Disember 20, 2022 13:14 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas negara, Petronas menerusi anak syarikat Petronas Petroleo Brasil Ltda (PPBL) dan rakan-rakan niaga berjaya memenangi blok cari gali Agua Marinha dalam bidaan regim perkongsian pengeluaran terbuka pertama yang diadakan di Rio de Janeiro.
Ini menyaksikan PPBL akan menguasai 20 peratus kepentingan penyertaan dalam blok yang terletak di Lembangan Campos manakala masing-masing Petrobras (operator atau pengendali) sebanyak 30 peratus, TotalEnergies 30 peratus dan QatarEnergy 20 peratus.
Dalam kenyataannya, Petronas berkata Agensi Kebangsaan Petroleum, Gas Asli dan Bio Bahan Api Brazil (ANP) telah mengumumkan keputusan terbabit secara langsung pada 16 Disember lepas.
"Kami amat gembira dan teruja dengan keputusan hasil pusingan bidaan tersebut. Kejayaan ini jelas membuktikan kelebihan daya saing Petronas untuk pembangunan mampan serta pengewangan aset di kawasan Lembangan Campos.
"Petronas juga kekal fokus untuk menjana lebih banyak nilai daripada aset ini dengan rakan-rakan selain pihak berkuasa terbabit," kata Naib Presiden Eksplorasi Mohd Redhani Abdul Rahman.
PPBL sebelum ini mengumumkan penemuan minyak pertama di telaga 4-BRSA-1386D-RJS di medan minyak Sepia di Lembangan Santos.
Ia mempunyai 21 peratus kepentingan penyertaan dalam kawasan terbabit.
Selain itu, PPBL turut mempunyai kepentingan penyertaan dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Module III medan laut dalam Espadarte (Konsesi Espadarte) selain tiga blok cari gali laut dalam C-M-541, C-M-661 dan C-M-715 di Lembangan Campos.
-- BERNAMA