Petronas mampu bayar tambahan dividen khas RM30 bilion
Najib Aroff
Mac 8, 2019 12:49 MYT
Mac 8, 2019 12:49 MYT
Petronas yakin mampu membayar dividen khas RM30 bilion kepada kerajaan tahun ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
“Kami yakin untuk membuat pembayaran ini kerana kami sudah membuat perkiraan sebelum bersetuju dengan komitmen ini.
“Ia akan dibayar secara berperingkat malah kami sudah mula membayar pada Januari lalu,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan 2018.
Petronas pada November 2018 berkata akan membayar tambahan RM30 bilion dividen khas kepada kerajaan berbanding RM24 bilion seperti kebiasaan.
Ia menjadikan syarikat itu perlu menyediakan RM54 bilion untuk pembayaran dividen kepada kerajaan.
Petronas kekal yakin pembayaran tambahan itu tidak akan menjejaskan operasi syarikat bergerak ke hadapan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019 berkata tambahan pembayaran dividen itu akan digunakan untuk pembayaran semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Individu bernilai RM37 bilion.
#Dividen Petronas
#Dividen tambahan Petronas
#GST
#Lim Guan Eng
#Petronas
#Petronas bayar RM30 bilion kepada kerajaan
#Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin