Petronas komited buka peluang kerjasama dalam peralihan tenaga
Bernama
September 13, 2023 05:30 MYT
September 13, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) komited dalam memastikan terus berada di landasan tepat untuk membuka peluang kerjasama peralihan lebih terperinci dalam ruang tenaga dengan minyak dan gas menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya.
Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas Datuk Bacho Pilong berkata ini penting berikutan wujudnya dorongan ketara untuk kalangan negara dan syarikat bekerjasama dengan berpandukan model kolaboratif yang berkesan.
Malah, katanya, usaha tersebut perlu diteruskan dan diperkukuh bagi menarik pelaburan yang mampu meningkatkan penggunaan penyelesaian penyahkarbonan sebagai usaha yang berdaya maju.
"Bagi penggiat industri dan penggubal dasar, satu usaha bersama untuk menerimaguna penyelesaian secara meluas akan mewujudkan ekosistem teknikal dan ekonomi yang positif untuk dilaksanakan merentasi industri," katanya dalam ucap tama pada persidangan dan pameran Minyak dan Gas Asia 2023 di sini, pada Rabu.
Acara yang berlangsung pada 13-15 Sept itu disertai oleh 2,000 syarikat tempatan dan asing, tujuh pavilion antarabangsa dari Korea Selatan, Jerman, Singapura, United Kingdom, China, Itali dan Amerika Syarikat serta lebih daripada 25,000 pengunjung dari lebih 60 negara.
Bacho berkata, dalam ruang tenaga itu, aspek peranan pembiayaan, mudah tunai dan pembiayaan hijau adalah sama pentingnya bagi membina kebolehupayaan ke arah peralihan tenaga di rantau ini.
"Geran yang fleksibel untuk kalangan penggiat minyak dan gas misalnya, sudah pasti akan berperanan sebagai insentif bagi memacu pengembangan dan menggalakkan pembangunan teknologi untuk menangani permintaan semasa.
"Pada masa sama, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana merintis model perniagaan inovatif atau berkembang di peringkat antarabangsa," katanya.
Impak daripada sokongan proaktif semua institusi kewangan dalam mendapatkan skim pembiayaan hijau, terutama penggiat kecil juga sama pentingnya dalam usaha menyokong peralihan tenaga.
Menurutnya, Prospek Aktiviti Petronas Bagi 2022-2025 menyatakan bahawa unjuran bagi kumpulan itu kekal positif bagi segmen pelantar penggerudian, aktiviti perkhidmatan untuk telaga dan dasar laut berikutan wujudnya keperluan dalam mengekalkan integriti kemudahan luar pesisir.
Malah, kata Bacho, terdapat perancangan aktiviti pemulihan akan datang bagi 2025 dengan jangkaan permintaan terhadap tenaga kerja yang lebih ramai.
Bersandarkan kepentingan itu, adalah penting untuk mewujudkan perancangan penyediaan bakat atau tenaga kerja yang kalis masa depan demi menyokong peningkatan tersebut.
"Keperluan untuk menangani isu-isu belum selesai dalam industri kita sememangnya penting. Industri perlu bersama-sama bertindak menarik pengambilan baharu dan seawal mungkin dengan memupuk minat mereka dalam aspek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mewujudkan kelompok pekerja mahir industri itu.
"Oleh itu, saya menggalakkan anda semua untuk turut sama meneroka infrastruktur Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat tempatan serta rantau dalam usaha menyelaras keperluan bakat dan industri.
"Kegagalan untuk menangani isu-isu ini boleh memberi kesan ke atas bidang penting seperti kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, kualiti dan integriti," katanya.
Dalam pada itu, Bacho berkata Petronas telah melaksanakan penyelesaian bagi mengimbangi dan mengurangi pelepasan menerusi teknologi dan amalan lebih bersih dan lestari yang dicapai melalui kerjasama.
Inisiatif tersebut adalah menerusi kerjasama dengan rakan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC), penyedia teknologi dan sokongan daripada agensi kerajaan negeri dan persekutuan, kata Bacho.
Petronas juga kekal komited dalam usaha memperkukuh portfolio teras sambil meneruskan strategi pertumbuhan dan agenda kelestarian dan menerusi daya tahan melalui penyelesaian bersama platform dan perkongsian strategik, katanya.
"Dalam perniagaan teras kami misalnya, Petronas sedang meningkatkan usaha yang merentasi tuas penyahkarbonan utama - pembakaran dan pelepasan sifar; kecekapan tenaga; pengelektrikan serta penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
"(Ini memandangkan) CCS berpotensi besar untuk berperanan sebagai pengupaya utama bagi mengurangkan pelepasan karbon, terutama yang berlaku secara semula jadi dalam takungan gas," katanya.
-- BERNAMA