Petronas kekal rakan strategik Sarawak, tekad majukan Bumi Kenyalang bersama

Khalis Khadir
September 5, 2024 19:40 MYT
Petronas telah melabur secara signifikan di Sarawak terutama dalam pembangunan hab LNG di Bintulu dan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab utama hidrogen hijau.
KUALA LUMPUR: Petronas menegaskan komitmen mereka terhadap pembangunan ekonomi negara dengan kekal menjadi rakan strategik Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Ringkasan AI
  • Petronas menegaskan komitmen mereka terhadap pembangunan ekonomi negara dan kekal menjadi rakan strategik Petroleum Sarawak Bhd (Petros), sambil bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan negeri.
  • Keuntungan yang diperoleh Petronas dilaburkan semula ke dalam pembangunan sektor minyak dan gas. Petronas juga menyumbang RM1.4 trilion sejak penubuhan dalam bentuk dividen, pelaburan, royalti, dan sumbangan ekonomi.
  • Petronas telah melabur secara signifikan di Sarawak, terutama dalam pembangunan hab LNG di Bintulu dan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab utama hidrogen hijau.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, sejak penubuhan Petronas pada 1974, syarikat itu telah diberi mandat untuk meneroka, membangun, dan mengurus sumber petroleum bagi Persekutuan Malaysia.
“Kami mempunyai tanggungjawab untuk memaksimumkan nilai sumber hidrokarbon negara. Kami berperanan sebagai peneraju dalam industri minyak dan gas negara.
“Kami mahu terus menyumbang kepada pertumbuhan negara dan memenuhi apa yang telah diamanahkan mengikut perjanjian,” katanya pada sidang media Laporan Kewangan Petronas, di sini, pada Khamis.
Beliau menekankan bahawa keuntungan yang diperoleh Petronas telah dilaburkan semula ke dalam pembangunan serta sektor minyak dan gas yang kukuh.
“Kami tidak melakukannya sendirian. Kami bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan negeri,” tambahnya.
Petronas juga menjelaskan bahawa hasil yang dijana daripada khazanah negara telah banyak menyumbang kembali kepada ekonomi nasional.
“Kami telah menyumbang RM1.4 trilion sejak penubuhan dalam bentuk dividen, pelaburan, royalti, dan sumbangan ekonomi,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh mengenai peranan Petronas sebagai pembeli gas asli dari pengeluar huluan dan menjualnya kepada pembeli akhir termasuk loji LNG, industri lain, dan sektor tenaga.
Tengku Taufik menambah syarikat itu telah melabur secara signifikan di Sarawak terutama dalam pembangunan hab LNG di Bintulu dan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab utama hidrogen hijau.
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan mengenai konfrontasi antara Petronas dan pihak lain dengan menegaskan bahawa perbincangan dan rundingan dijalankan secara konstruktif dan profesional.
“Kami mahu Sarawak berkembang dan mencapai misinya. Namun, kedua-dua pihak perlu mengakui kekangan yang dihadapi,” jelasnya lagi.
#Petronas #Sarawak #Petroleum Sarawak Bhd
;