Petronas kekal bayar dividen RM26 bilion tahun ini

Najib Aroff
Ogos 14, 2015 19:40 MYT
WAN ZULKIFLEE: Komitmen sudah dinyatakan dan semua perancangan juga sudah ditetapkan untuk membayar RM26 bilion tahun ini.
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kekal akan membayar dividen RM26 bilion kepada kerajaan tahun ini meskipun aliran tunai hasil dari operasi tidak mampu menampung komitmen tersebut termasuk perbelanjaan modal syarikat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, syarikat akan mengeluarkan rizab simpanan tunai serta melakukan langkah penjimatan bagi memenuhi komitmen tersebut.
"Komitmen sudah dinyatakan dan semua perancangan juga sudah ditetapkan untuk membayar RM26 bilion tahun ini," katanya kepada pemberita pada pengumuman prestasi kewangan suku kedua syarikat di ibu negara.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Petronas, Datuk George Ratilal berkata jumlah itu masih munasabah berdasarkan jumlah simpanan tunai semasa yang dimiliki syarikat.
"Perancangan kami adalah berdasarkan bayaran RM26 bilion dan ia sudah ditentukan.
"Semua perancangan yang kami ada telah mengambil kira kelemahan harga minyak semasa dan RM26 bilion sudah diambil kira," katanya.
Tambahnya, syarikat sudah meletakkan perancangan rapi dan mengambil kira kejatuhan harga minyak serta komitmen terhadap kerajaan.
Sementara itu, Petronas akan meneruskan langkah penjimatan perbelanjaan dalam berdepan kelemahan berterusan harga minyak mentah dunia.
Wan Zulkiflee berkata kejatuhan harga minyak dianggap peluang syarikat utnuk menambah baik kecekapan operasi di semua bahagian.
Separuh pertama tahun ini, katanya, Petronas mencatatkan penjimatan RM600 juta hasil penambahbaikan kecekapan.
"Kami tidak mahu kehilangan peluang untuk menyelesaikan ketidakcekapan, secara dalaman, dan juga industri," katanya.
Usaha itu juga, menurut Wan Zulkiflee, merupakan usaha berterusan syarikat bagi meningkatkan tahap kompetitif dalam pasaran minyak dan gas.
Pada masa sama katanya projek yang sudah diluluskan syarikat akan diteruskan.
"Kami akan semak portfolio kami dan projek projek yang tidak memenuhi kriteria, tidak akan dijalankan," katanya sambil menambah harga minyak mentah akan terus berdepan tekanan pada separuh kedua tahun ini.
Harga minyak Brent berada pada purata AS$62 (RM253) setong pada suku kedua berbanding AS$54 (RM220) setong pada suku pertama.
#dividen #George Ratilal #harga minyak #Petronas #Wan Zulkiflee Wan Ariffin
;