Petronas jangka permintaan gas terus meningkat
Pritha Manivannan
April 26, 2016 11:33 MYT
April 26, 2016 11:33 MYT
Petronas Gas Berhad (PGB) menjangkakan permintaan gas di Malaysia akan terus meningkat tahun ini.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azhar Abbas, PGB bersedia menyokong permintaan yang semakin tinggi terutamanya melalui projek terminal gas di Pengerang, Johor.
Shamsul berkata projek terminal gas itu dijangka siap pada suku pertama 2018.
"Kita tidak menjangkakan pengurangan permintaan gas. Kami melabur dalam terminal gas di Pengerang untuk memenuhi permintaan gas.
"Ini akan memenuhi permintaan masa depan. Kami bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peningkatan permintaan gas," kata Shamsul Azhar.
Sementara itu, Shamsul Azhar berkata 80 peratus daripada pendapatan syarikat tahun ini dijangka disumbang oleh Perjanjian Proses Gas (GPA) dan Perjanjian Pengangkutan Gas (GTA).
Pelaksanaan GPA dan GTA yang berkuat kuasa 1 April lalu turut menyumbang kepada prestasi baik PGB tahun lepas, di samping kesuraman ekonomi global.
Menurut Shamsul Azhar, pendapatan PGB meningkat 1.5 peratus kepada RM4.5 bilion pada tahun kewangan 2015 yang berakhir 31 Disember lalu.
Ini berbanding RM4.4 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Keuntungannya pula meningkat 7.8 peratus kepada RM2.0 bilion.
Tambah beliau, peningkatan keuntungan dibantu oleh insentif cukai bagi projek membaik pulih loji (PRR) yang telah siap awal 2015.
Selain projek PRR, projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia dan Penapisan PETRONAS (RAPID) di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor sedang berjalan seperti dijadualkan.
Ia dijangka siap menjangka suku kedua 2016.
Projek Saluran Paip Gas Pengerang turut berada di landasan dan dijangka siap tahun ini.
#Petronas Gas Berhad
#PGB
#Plant Rejuvenation and Revamp
#PRR
#Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azhar Abbas