Kerjasama ini menggabungkan kepakaran PETRONAS dalam industri tenaga selama lima dekad dengan pengalaman luas EI dalam meningkatkan kecekapan pengurusan sektor tenaga global.
Langkah ini bertujuan memperkukuh landskap tenaga di Asia, seiring dengan usaha mempercepatkan peralihan tenaga yang mampan dan berdaya tahan.
Naib Presiden Kanan PETRONAS bagi Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada komitmen PETRONAS dalam memacu inovasi serta mempersiapkan sektor tenaga untuk masa depan.
“Kerjasama dengan Energy Institute membawa kepakaran, sumber dan semangat kami untuk mempercepatkan kemajuan ke arah masa depan tenaga yang lebih lestari. Ini mencerminkan komitmen PETRONAS dalam membangunkan ekosistem inovasi yang berimpak tinggi bagi menyokong aspirasi pelepasan karbon sifar bersih di Asia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kejayaan mencapai sasaran sifar bersih di Asia adalah penting bagi memastikan matlamat global tercapai.
“Melalui perkongsian strategik ini, kami berhasrat memperkasa sektor tenaga di Asia dengan ilmu pengetahuan dan rangkaian yang diperlukan untuk memastikan peralihan tenaga yang adil dan bertanggungjawab.
“Pada masa yang sama, ia akan membantu memacu perubahan bermakna dalam industri tenaga serta terus mempertingkatkan kualiti kehidupan untuk masa depan yang mampan,” tambahnya.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung sempena Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) di London baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan PETRONAS bagi Strategi dan Perkhidmatan Korporat, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Abang Jimmy Abang Mordian; Ketua Pegawai Eksekutif EI, Dr Nick Wayth serta Pengarah Teknikal EI, Martin Maeso.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, PETRONAS akan menyertai Jawatankuasa Penasihat Saintifik dan Teknikal EI (EI-STAC), yang membolehkannya menyumbang kepada pembangunan piawaian industri serta memperluaskan hubungan dengan organisasi tenaga global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EI, Dr Nick Wayth, berkata kerjasama ini berperanan penting dalam menyokong usaha mempercepatkan peralihan tenaga secara adil ke arah pelepasan karbon sifar bersih.
“Di Energy Institute, kami komited untuk mencipta masa depan tenaga yang lebih baik bagi masyarakat dan industri dengan mempercepatkan peralihan tenaga global secara adil. Saya gembira PETRONAS menyertai kami sebagai Rakan Teknikal terbaharu dalam usaha ini,” ujarnya.
Jelasnya, kerjasama ini akan memperkukuh usaha EI dalam membangunkan sektor tenaga di Malaysia, Asia Pasifik serta peringkat global.
Kolaborasi ini juga sejajar dengan inisiatif PETRONAS dalam mengembangkan teknologi pengurangan pelepasan karbon, pembangunan infrastruktur tenaga, pembiayaan peralihan tenaga serta pembangunan tenaga kerja yang kompetitif.

Sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah tenaga mampan, Energy Institute akan turut serta dalam Energy Asia 2025 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 Jun 2025.
Persidangan ini berfungsi sebagai platform utama dalam memperkukuh aspirasi pelepasan karbon sifar bersih Asia, selain memupuk kerjasama antara sektor bagi memacu penyelesaian tenaga yang lebih lestari.
