Petronas Gas raih untung bersih RM468.99 juta pada 2QFY24, susut 3.3%

Dagang News
Ogos 20, 2024 19:00 MYT
https://www.dagangnews.com/article/petronas-gas-raih-untung-bersih-rm46899-juta-pada-2qfy24-susut-33-40070
KUALA LUMPUR: Petronas Gas Berhad mencatatkan untung bersih RM468.99 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), susut 3.37% berbanding RM485.37 juta yang diraih pada suku sama setahun sebelumnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pendapatan Petronas Gas pada suku tahun berakhir 30 Jun 2024 itu menyaksikan pertambahan kepada RM1.65 bilion berbanding RM1.64 bilion pada 2QFY23.
Petronas Gas telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 16 sen setiap saham.
Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Petronas Gas memaklumkan untung selepas cukai (PAT) Kumpulan berjumah RM963.24 juta pada separuh pertama FY24, peningkatan sebanyak 2% berbanding RM944.26 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, pertumbuhan ini adalah hasil daripada kecemerlangan operasi Petronas Gas yang berterusan di semua segmen perniagaan.
"Petronas Gas telah mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 16 sen setiap saham, konsisten dengan suku tahun sebelumnya, mencerminkan komitmennya untuk memberikan nilai kepada pemegang saham.
"Peningkatan PAT 1HFY2024 ini berakar pada kecekapan teras Petronas Gas dalam mengekalkan piawaian tinggi dalam operasinya.
"PGB mencapai PAT yang terpuji dengan memastikan tahap kapasiti yang tinggi dan penghantaran produk di semua segmen perniagaan," katanya.
Menurut Petronas Gas, prestasi kukuh ini juga disebabkan oleh mitigasi kos kewangan dan pendedahan pertukaran asing yang berkesan melalui penyelesaian awal kewajipan sewaan yang berdenominasi dolar AS untuk kemudahan LNG di Sungai Udang, Melaka pada bulan Mei 2023.
"Untuk separuh pertama 2024, hasil adalah sebanyak RM3.27 bilion, mencerminkan penurunan kecil sebanyak 1.4% atau RM45.4 juta daripada RM3.31 bilion pada tahun sebelumnya.
"Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh pendapatan yang lebih rendah dalam segmen utiliti, disebabkan oleh harga produk yang lebih rendah walaupun volum jualan yang lebih tinggi," katanya.
Walau bagaimanapun, kata Petronas Gas, impak tersebut diimbangi oleh peningkatan hasil daripada Pemprosesan Gas, yang mendapat manfaat daripada caj tempahan yang lebih tinggi di bawah terma baru, serta tarif yang lebih tinggi dalam Pengangkutan Gas.
"Keuntungan kasar Petronas Gas kekal pada paras yang boleh dibandingkan iaitu RM1.19 bilion, disokong oleh pengurangan kos operasi daripada kos gas bahan api dan perbelanjaan penggunaan gas dalaman yang lebih rendah," ujarnya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas, Abdul Aziz Othman berkata, keputusan kewangan menunjukkan pencapaian berterusan kecemerlangan operasi Petronas Gas.
"Kami bersedia untuk meneruskan prestasi cemerlang sepanjang baki tahun 2024,” ujarnya. - DagangNews.com
#Petronas Gas #Bursa Malaysia #untung bersih #untung selepas cukai
;