Petronas galas tanggungjawab besar jadi pemangkin sumber tenaga hijau, mampan negara
Nickyson Nyambar
Mei 24, 2022 21:45 MYT
Mei 24, 2022 21:45 MYT
KUALA LUMPUR: Keperluan untuk mewujudkan tenaga boleh diperbaharui, hijau dan mampan dalam industri minyak dan gas negara menjadi tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, krisis tenaga adalah merupakan aspek yang tidak dapat dielakkan oleh mana-mana sektor berkaitan industri, malah perlu diberi penekanan yang lebih komprehensif agar seiring dalam mencapai aspirasi tenaga hijau dan bersih global.
"Keperluan untuk tenaga yang boleh diperbaharui, bersih dan hijau ini menjadi satu permintaan yang tidak dapat dinafikan lagi. Jadi bagi Petronas, walaupun sudah ada amanah yang besar yang perlu digalas, adalah penting untuk membina asas dalam perkara ini sebagai salah satu usaha murni agar Malaysia dapat mencipta tenaga yang lebih mampan, sekali gus membangun selepas cabaran pandemik COVID-19.
"Kita perlu prihatin, bahawa ini bukan satu trend ataupun mod, ini adalah merupakan satu kewajipan dan sebagai masyarakat korporat yang beroperasi bukan sahaja di Malaysia tetapi di 30 negara di seluruh dunia, ini adalah merupakan tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan," katanya dalam program Agenda AWANI malam ini.
Sebagai penyelesaian kepada krisis jangka panjang ini, jelasnya tanggungjawab untuk mewujudkan suasana industri minyak dan gas yang kondusif selaras dengan permintaan global melibatkan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat sejagat.
"Sudah lama Petronas menyampaikan keperluan untuk mencapai skala yang lebih kompetitif dan mampan dalam sinergi ini, bukan hanya dari segi kos sahaja.
"Sudah banyak perbincangan (menjurus kepada hal ini) dan mungkin kepercayaan saya sedikit meleset kalau dianggap Petronas hanya melopori agenda dalam mengoptimumkan kos untuk keuntungan sendiri... tidak.
"Sebenarnya tidak ada cara lain untuk meneruskan pengeluaran hidrokarbon, tetapi harus ditunjukkan kepada dunia kita (Petronas) dapat melangsungkan operasi dengan selamat, bertanggungjawab, bukan sahaja kepada industri tetapi kepada pemegang taruh.
"Berdaya tahan. Maksudnya ini adalah satu industri yang tidak dinafikan cyclical atau berkitaran," ujar beliau ketika disoal dalam program sama oleh Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail, bersempena dengan World Economic Forum (WEF) yang sedang berlangsung di Davos, Switzerland.
Tambahnya lagi, Malaysia perlu lebih bersikap agresif dan bersama dalam menangani isu ini.
Ini termasuk melibatkan pelaburan dalam pelbagai aspek seperti melatih tenaga kerja, strategik, komersial, aset-aset serta bekerjasama dalam mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) secara holistik.
Hal ini jelasnya memerlukan respons bukan sahaja dari pembekal tenaga, perkhidmatan, malah dari segenap aspek.