PETRONAS FutureTech 3.0 pacu pertumbuhan syarikat pemula
Haikal Raman
November 3, 2023 21:51 MYT
November 3, 2023 21:51 MYT
KUALA LUMPUR: PETRONAS terus komited dalam membangunkan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat serta pemain ekosistem teknologi inovatif di peringkat domestik dan antarabangsa dalam menyediakan platform yang luas kepada usahawan pemula.
Ketua PETRONAS Ventures, Arni Laily Anwarrudin berkata, menerusi program FutureTech, ia dilihat mampu membantu syarikat-syarikat pemula terlibat khususnya dalam menyediakan akses pasaran bagi pertumbuhan dan memperluaskan perniagaan ke peringkat global.
“Bermula dari peringkat tempatan dan kini berkembang ke peringkat serantau, FutureTech 3.0 menyasarkan penglibatan lebih besar dalam meningkatkan ekosistem syarikat pemula di rantau Asia Pasifik.
“Program ini turut memberi peluang berinovasi antara korporat-korporat terkemuka dan syarikat pemula teknologi berpotensi tinggi di Asia Pasifik,” katanya ketika ucapan pembukaan program PETRONAS FutureTech 3.0 Demo Day di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
FutureTech 3.0 dianjurkan oleh PETRONAS Ventures bagi menyokong syarikat teknologi pemula dalam memacu perkembangan penyelesaian berasaskan teknologi dan inovasi mereka.
Edisi ketiga ini juga menampilkan tujuh rakan korporat termasuk Tenaga Nasional Bhd., DRB-HICOM Bhd., Gentari Sdn. Bhd., Sembcorp Industries Ltd., Hyundai Motor Company, Vitol dan Khazanah Nasional Bhd.
Di samping itu, program itu turut mendapat kerjasama daripada rakan ekosistem dari dalam dan luar negara, antaranya Cradle Fund Sdn. Bhd., Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI),Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Microsoft, Amazon Web Services (AWS), SG Innovate (Singapura), Leave a Nest Group (Jepun), MYStartup, National Technology & Innovation Sandbox (NTIS), dan Tata Consultancy Services (TCS).
Menurut Arni, program tersebut menyasarkan sokongan terhadap lima bidang tumpuan termasuk masa depan industri & kerja, masa depan bahan kimia & bahan termaju, masa depan tenaga & mobiliti, teknologi sempadan dan kelestarian.
“Kami ingin melihat kepada skop peralihan tenaga, kelestarian dan penyahkarbonan serta bagaimana kita mampu untuk memanfaatkan semula teknologi-teknologi ini ke dalam teras perniagaan PETRONAS.
“Berlandaskan pendekatan pemikiran progresif dengan dipacu oleh teknologi, PETRONAS komited dalam membangunkan penyelesaian mampan yang akan membawa kepada perubahan positif serta menyumbang ke arah masa depan lebih hijau serta berdaya tahan,” ujarnya.
PETRONAS FutureTech 3.0 menerima lebih dari 400 permohonan dari seluruh rantau Asia-Pasifik, Singapura, Australia, India dan Indonesia sejak program ini dibuka untuk pendaftaran awal tahun ini. Namun, hanya 25 syarikat pemula dipilih untuk mengikuti bengkel intensif dan sesi bimbingan oleh pakar industri selama 16 minggu, seterusnya membentangkan (pitching) penyelesaian berdasarkan teknologi dan inovasi mereka dalam sesi Demo Day pada Selasa, 31 Oktober 2023.
Lima syarikat pemula termasuk Entomal Biotech dari Malaysia berjaya memenangi anugerah PETRONAS FutureTech 3.0 dan dipilih untuk menyertai program yang disusun khas oleh PETRONAS Ventures.
Manakala lima lagi syarikat tempatan terpilih menerima wang tunai sebanyak RM10,000, ditaja oleh platform ekosistem pemula Malaysia, MYStartup, sebagai motivasi dalam meneruskan pembangunan perniagaan mereka.
Sehingga kini, PETRONAS Ventures telah melabur secara langsung dalam 28 syarikat pemula. PETRONAS mengalu-alukan kerjasama strategik dari pelbagai sektor dalam memanfaatkan penyelesaian terkini bagi mempertingkatkan pertumbuhan perniagaan, ekonomi dan negara.