Petronas Dagangan, Petros lengkapkan pemindahan perniagaan dan operasi LPG Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 5, 2022 12:30 MYT
Keputusan muktamad pengoperasian LPG itu adalah komitmen Petros untuk memenuhi keperluan utama pengguna LPG di seluruh Sarawak.
KUCHING: PetrosNiaga Sdn Bhd (PNiaga) secara rasmi mempunyai pegangan penuh ke atas urusan pemasaran kesemua silinder gas (hijau) Petronas dan (merah) Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Syarikat minyak dan gas Sarawak itu turut mengambil alih semua pembekal semasa gas petroleum cecair (LPG) daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Pengoperasian sepenuhnya itu berkuatkuasa selepas Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan Petros melengkapkan Pindahan Perniagaan dan Perjanjian Langganan Saham (BTSSA) antara kedua-dua organisasi itu hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Janin Girie berkata keputusan muktamad pengoperasian LPG itu adalah komitmen Petros untuk memenuhi keperluan utama pengguna LPG di seluruh Sarawak.
“Ia juga memastikan bekalan LPG di Sarawak sentiasa mencukupi dan bersedia terutama untuk keperluan penduduk di pedalaman.
“Pengoperasian kerjasama yang strategik ini juga memenuhi aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan perniagaan yang meluas LPG Petros di seluruh negeri dan merealisasikan hasrat Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016,” katanya dalam satu kenyatan pada Khamis
Perjanjian yang dilengkapkan itu melibatkan jualan perniagaan LPG PDB Sarawak kepada PNiaga dan melanggan 49 peratus pegangan dalam PNiaga sebagai sebahagian daripada BTSSA dengan PNiaga dan Petros.
#Petronas #Petros #LPG Sarawak #gas
;