PETRONAS Chemicals catat keuntungan selepas cukai RM633 juta bagi 2Q 2023

Firdaus Azil
Ogos 22, 2023 15:50 MYT
Keuntungan PCG bagaimanapun menyusut enam peratus bagi perbandingan suku ke suku, iaitu RM7.1 bilion berbanding RM7.6 bilion pada 1Q 2023, susulan permintaan pengguna dan pengilang yang rendah, serta tekanan kos akibat inflasi. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM633 juta bagi suku kedua 2023 (2Q), sekali gus mengekalkan kemampanan kewangannya di sebalik persekitaran pasaran yang mencabar.
Keuntungan PCG bagaimanapun menyusut enam peratus bagi perbandingan suku ke suku, iaitu RM7.1 bilion berbanding RM7.6 bilion pada 1Q 2023, susulan permintaan pengguna dan pengilang yang rendah, serta tekanan kos akibat inflasi.
Kumpulan tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata, harga purata dan jurang produk terus menyusut dalam 2Q 2023 kerana faktor harga minyak yang rendah.
Selain itu, penggunaan loji juga menyusut ekoran gangguan bekalan bahan mentah untuk loji pemprosesan methanol dan urea di Labuan dan Sabah, menyebabkan penurunan pengeluaran dan jualan.
“Untuk 2Q 2023, kami menghadapi cabaran luaran yang hebat.
"Kilang kami di Labuan dan Sabah telah mengalami penutupan tidak terancang berikutan gangguan sementara bekalan bahan mentah gas yang mengurangkan jumlah pengeluaran dan jualan kami.
“Ini menambahkan lagi tekanan pada margin mampatan yang kami alami sejak Disember 2022, disebabkan oleh harga dan jurang yang lebih rendah untuk kebanyakan produk,” kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof.
Untuk pertengahan pertama 2023 (1H 2023), PCG telah mencatatkan keuntungan RM14.7 bilion dan keuntungan selepas cukai RM1.2 bilion.
Kumpulan tersebut turut mengumumkan pemberian dividen sebanyak RM640 juta, meliputi 55 peratus PAT bagi 1H 2023 dan kepentingan bukan kawalan.
Mengulas mengenai unjuran bagi pertengahan tahun kedua 2023 (2H 2023), Mohd Yusri berkata, prestasi harga produk sejak beberapa minggu lepas menunjukkan trend menaik, khususnya dalam harga minyak mentah dan aktiviti pengisian semula.
“Bagaimanapun kami menjangkakan margin akan terus berada di bawah tekanan.
"Kami masih perlu menanggung kos operasi yagn tinggi, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, serta peningkatan persaingan dari kapasiti baharu hiliran, terutamanya di China dan AS.
“Segmen kepakaran akan dijangka kekal perlahan, memandangkan impak pertumbuhan industri global yang perlahan akan merentasi pasaran akhir,” katanya lagi.
Mengulas mengenai operasi kumpulan bagi 2H 2023 pula, Mohd Yusri berkata, beberapa loji akan menjalani dijadualkan menjalani pemulihan berwajib aktiviti penyelenggaraan, dan mereka menjangkakan sedikit penurunan dalam jumlah pengeluaran.
“Kami kekal fokus untuk mengekalkan kecemerlangan operasi dan komersial bagi mengekalkan daya tahan kewangan PCG,” katanya lagi.
#petronas chemicals #PCG #2Q 2023 #bisnes
;