Petronas Chemicals catat keuntungan RM5.1 bilion bagi tahun 2018
Ibrahim Sani
April 29, 2019 12:51 MYT
April 29, 2019 12:51 MYT
Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatat keuntungan sebelum cukai (PAT) sebanyak RM5.1 bilion untuk tahun 2018. Ini merupakan peningkatan sebanyak 14.6 peratus berbanding tahun sebelum ini iaitu RM4.4 bilion.
Keuntungan sebelum cukai (EBITDA) pula meningkat sebanyak 5.2 peratus kepada RM7 bilion berbanding RM6.6 bilion pada tahun sebelumnya.
PCG menyatakan bahawa peningkatan keuntungan pada tahun 2018 adalah kerana permintaan yang semakin kukuh yang menyokong pertumbuhan pendapatan. Pada 2018, pendapatan PCG meningkat 12.5 peratus kepada RM19.6 bilion berbanding RM17.4 bilion pada tahun sebelum ini.
“PCG mencatatkan rekod keuntungan sejak syarikat ini tersenarai di Bursa Malaysia, meskipun keadaan pasaran yang kurang memuaskan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah.
Berucap di Mesyuarat Agung Tahunan syarikat itu, Sazali menyatakan untuk tahun 2018, PCG telah meraih kadar operasi yang besar di beberapa pusat refineri mereka. Ini memberi penekanan untuk mendapat operasi yang lebih efisyen.
Untuk unjuran tahun-tahun akan datang, Sazali menyatakan bahawa syarikat itu akan memberi penekanan khusus terhadap penambahbaikan pengurusan syarikat.
“Kami sedang berusaha untuk melaksanakan strategi dua-penjuru untuk memberikan pertumbuhan yang berterusan. Memandangkan kami telah melengkapkan strategi permulaan sejak disenaraikan di pasaran saham pada 2010, kini kami akan teruskan memberi yang terbaik untuk industri ini,” ujar Sazali lagi.
Selain itu PCG akan terus memperkembangkan Pengerang Integrated Complex (PIC) di Johor. Sehingga bulan Mac 2019, pembangunan kilang penapisan petrokimia PIC berada tahap 97.7 peratus siap. Ini bermakna PIC akan dijadualkan beroperasi pada suku ke-empat tahun ini.