Petronas catat PAT sebanyak RM40.2 bilion, EBITDA pada RM70.5 bilion
Firdaus Azil
Ogos 30, 2023 17:09 MYT
Ogos 30, 2023 17:09 MYT
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terus mencatatkan prestasi kukuh di sebalik penurunan ketara harga tenaga, dengan mencatatkan pendapatan sebanyak RM170.3 bilion bagi separuh pertama tahun 2023 (1H FY2023).
Biarpun berlaku penurunan marginal dari RM170.4 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas, Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufiq Tengku Kamadjaja Aziz berkata, pencapaian itu adalah membanggakan di sebalik impak situasi makro ketika ini.
Petronas turut mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM40.2 bilion, penurunan sebanyak 13 peratus (RM6.2 bilion) berbanding tempoh yang sama bagi tahun kewangan 2022, manakala Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) pada RM70.5 bilion.
“Secara keseluruhan, Kumpulan kekal teguh pada falsafah terasnya dalam pengurusan kewangan, dan akan terus melaksanakan disiplin berkaitan pelaburan semula, dalam usaha mengukuhkan teras dan mengembangkan portfolio, dan pada masa yang sama mengurus komitmen kewangan dan tuntutan hutang.
“Penyampaian prestasi kumpulan seperti ini tidak mudah, terutamanya dalam industri yang merbahaya dan penuh dengan risiko,” katanya kepada sidang media mengenai prestasi 1H FY2023 di ibu negara, pada Rabu,
Bagi suku kedua 2023 (Q2 FY2023), pendapatan Petronas berkurangan sebanyak 13 peratus kepada RM79.9 bilion, manakala PAT bagi tempoh masa yang sama jatuh 29 peratus kepada RM16.4 bilion berbanding RM23 bilion bagi tempoh yang sama untuk tahun kewangan 2022.
Dalam pada itu, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) adalah sebanyak RM57.8 bilion, penyusutan tujuh peratus berbanding RM62.4 bilion sebelum ini, sejajar dengan keuntungan yang dijana dalam tempoh itu.
Sementara itu, pelaburan modal mereka dalam tempoh itu berjumlah RM21.4 bilion, manakala perbelanjaan modal domestik meningkat sebanyak 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jumlah aset PETRONAS pula terus kukuh kepada RM742 bilion pada 30 Jun 2023 berbanding RM710.6 bilion pada 31 Disember 2022.
Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufiq berkata, situasi harga yang tidak menentu bagi suku pertama 2023 tidak menghalang Kumpulan untuk terus progresif dalam pelaksanaan inisiatif bagi mengekalkan prestasi kumpulan yang mampan.
“Usaha ini memberi penekanan terhadap kecermelangan operasi dan komersial merentasi rantaian nilai kami, mengekalkan pengeluaran huluan serta memenuhi komitmen kami untuk menyediakan tenaga yang boleh dipercayai kepada pelanggan.
“Memandang ke hadapan, kami menjangkakan peningkatan cabaran, termasuk penurunan pasaran harga untuk baki tempoh 2023, susulan aktiviti ekonomi global yang perlahan. Di sebalik cabaran ini, kami akan terus memberi fokus kepada ‘future-proofing’ bagi tempoh yang mendatang.
“Ini termasuk meningkatkan pelaburan dalam perniagaan teras, biarpun kami akan mengurangkan pelepasan gas hijau ketika melabur dalam tenaga yang lebih bersih bagi memastikan keteguhan portfolio kumpulan, sejajar dengan Strategi Peralihan Tenaga Petronas,” katanya lagi.
Tengku Muhammad Taufiq berkata, Petronas percaya bahawa melipatgandakan usaha dalam membina ketahanan adalah sesuatu perkara yang betul, bagi menyediakan nilai mampan jangka panjang sebagai sebuah syarikat minyak nasional, dan terus berkembang sebagai pemain industri tenaga global.