Petronas catat keuntungan sebelum cukai RM77.7 bilion
Bernama
Februari 27, 2015 20:05 MYT
Februari 27, 2015 20:05 MYT
Keuntungan sebelum cukai Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2014, susut kepada RM77.7 bilion daripada RM94.3 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Kewangannya Datuk George Ratilal, semasa mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu di sini, hari ini, berkata keuntungan rendah itu adalah disebabkan kejatuhan harga minyak yang membawa kepada penjejasan tinggi sebanyak RM22.6 bilion.
Bagaimanapun, hasil meningkat sebanyak 4.0 peratus kepada RM329.1 bilion daripada RM317.3 bilion sebelumnya.
Perbadanan minyak nasional itu juga buat pertama kalinya mencatatkan kerugian sebelum cukai suku tahunan pada suku keempat 2014 sebanyak RM400 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM17.6 bilion dalam suku yang sama pada 2013, berikutan hasil rendah sebanyak RM79.4 bilion daripada RM84.8 bilion sebelumnya.
"Kami mula melaporkan bagi asas suku tahunan kira-kira lima tahun lalu dan kami tidak pernah mencatatkan kerugian pada suku tahunan sepanjang tempoh itu, saya tidak ingat pernah melihat kerugian dicatatkan Petronas bagi suku tahunan, jadi 2014 (secara keseluruhan) bukan satu kerugian," katanya.
Mengenai penjejasan tinggi itu, Ratilal berkata sekiranya harga minyak berdasarkan kepada prospek kumpulan, Petronas tidak menjangkakan penjejasan lebih besar pada masa hadapan.
"Penjejasan itu adalah berdasarkan kepada apa yang kami nilai, disebabkan oleh harga minyak semasa, apakah jenis pendapatan yang akan kami peroleh bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Penjejasan itu telah dinilai setiap suku tahun. Ia pada asasnya adalah satu perkara yang sementara, bukan kekal.
"Apa yang kami lakukan, sebagai sebuah syarikat minyak, ialah standard perakaunan, berdasarkan kepada pendapatan masa depan dan harga semasa. Sekiranya harga minyak meningkat (pada masa depan), kami akan masuk kira semula," katanya.