Petronas catat kerugian bersih RM21 bilion pada suku kedua 2020, tiada pemberhentian pekerja
Astro Awani
September 4, 2020 17:58 MYT
September 4, 2020 17:58 MYT
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan kerugian selepas cukai RM21 bilion untuk suku kedua 2020 (2Q2020), berbanding keuntungan bersih RM14.7 bilion tempoh sama tahun lalu.
Kerugian itu diakibatkan kejatuhan terhadap pemintaan minyak dan susut nilai bernilai RM20.77 bilion susulan kejatuhan harga minyak.
Ini menjadikan rugi bersih yang direkodkan Petronas pada separuh tahun pertama 2020 (1H2020) berjumlah RM16.5 bilion berbanding keuntungan bersih RM28.9 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas perlu mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan mereka dapat menempuhi tempoh mencabar kini.
"Sektor minyak dan gas menghadapi kesan yang besar kerana gangguan permintaan disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan kekurangan bekalan, mengakibatkan harga minyak berubah.
"Sama dengan rakan dalam industri ini, prestasi kewangan Petronas untuk separuh pertama 2020 mencatatkan kerugian RM16.5 bilion disebabkan oleh penurunan nilai aset yang ketara.
"Petronas mesti dan akan terus mengambil langkah yang perlu untuk memperkuat daya tahannya di sebalik persekitaran yang sangat mencabar ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2020 Petronas pada Jumaat.
Begitupun, di sebalik angka suram yang direkodkan, syarikat petrokimia itu masih mengekalkan daya tahan syarikat dengan mengambil langkah strategik tanpa mengurangkan atau membuang pekerjanya bagi menampung kerugian.
Menurut Tengku Muhammad, syarikat itu sentiasa mengambil berat perihal pekerja dan akan menghadapi masalah tersebut ‘sebagai satu keluarga’.
"Saya percaya aset paling penting untuk syarikat ini adalah pekerja. Kami tidak akan membuat keputusan ini dengan ringan, eksekutif, semua orang, akan melihat semua pilihan yang mungkin dilakukan.
"Kami tidak akan menjadi pengurusan dan ahli lembaga yang bertanggungjawab sekiranya kami tidak memikirkan perkara ini. Berkaitan dengan kedudukan semasa dan pemikiran saya, saya tidak mahu memilih untuk mengurangkan atau memberhentikan pekerja.
"Setakat ini, kami cuba bersama dan kongsi keperitan ini. Kami akan hadapi ini sebagai satu keluarga. Tidak fikir untuk mengurangkan pekerja," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata dividen kepada kerajaan pada tahun ini akan bergantung kepada kemampuan kewangan syarikat berkenaan.
#2Q2020
#COVID-19
#cukai
#minyak
#pemotongan gaji
#Petroliam Nasional Bhd
#Petronas
#Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz