Petronas beri sumbangan kepada Sekolah Seni Malaysia

Bernama
Mac 21, 2013 15:27 MYT
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini menyumbang RM200,000 kepada dua Sekolah Seni Malaysia bagi membantu usaha mereka menggalakkan seni persembahan tradisional Malaysia, terutama dalam kalangan generasi muda.
Dua sekolah tersebut ialah Sekolah Seni Malaysia Johor Baharu, Johor dan Sekolah Seni Malaysia Kuching, Sarawak.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Mohammad Medan Abdullah kepada Pengetua Sekolah Seni Malaysia Johor Baharu, Rohana Ismail dan Pengetua Sekolah Seni Malaysia Kuching, Dr Sluhi Lamat.
Masing-masing menerima cek bernilai RM100,000 dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Sektor Operasi Pendidikan Datuk Sufa'at Tumin.
Mohammad Medan berkata sumbangan itu diharap dapat memupuk barisan pelapis yang akan mewarisi khazanah kesenian negara pada masa hadapan.
Katanya sumbangan yang disalurkan itu juga diharap dapat menyokong pelbagai aktiviti sekolah yang telah dirancang bagi memartabatkan industri seni negara serta memperkasakan pengetahuan dalam kalangan generasi muda.
"Kegiatan seni dan budaya memainkan peranan penting dalam memupuk semangat jati diri bangsa, selain memastikan kesinambungan tradisi tidak akan dilupai ditelan arus kemodenan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian itu di sini, hari ini.
Katanya sejarah telah memperlihatkan bahawa khazanah seni sesuatu bangsa jika dipelihara dapat memainkan peranan penting dalam memupuk suatu masyarakat bertamadun dan mampu mengatasi pelbagai cabaran untuk menempa kejayaan di persada dunia.
Katanya bagi menyokong usaha yang sama, pihaknya telah menyumbang RM150,000 masing-masing kepada Geng Wak Long (kumpulan kebudayaan dari Kelantan) dan Yayasan Kebudayaan Dayak, Sarawak.
#Petronas #Sekolah Seni Malaysia #seni persembahan tradisional Malaysia