Petronas akan tubuhkan dua unit baharu, sedia capex sehingga RM50 bilion
Bernama
Mac 1, 2022 19:45 MYT
Mac 1, 2022 19:45 MYT
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan melancarkan entiti bebas baharu menjelang pertengahan tahun ini dan menubuhkan unit pengurusan karbon berpusat berikutan kumpulan itu memulakan fasa pertumbuhan yang seterusnya.
Syarikat minyak nasional itu turut berhasrat memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sehingga RM50 bilion pada tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, entiti bebas baharu itu akan memfokuskan sepenuhnya kepada penyelesaian tenaga lebih bersih dan merebut peluang dalam segmen peralihan tenaga, selain portfolio terasnya.
"Kami tidak mengetepikan hidrokarbon. Entiti baharu ini akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini dan menawarkan pelanggan dengan penyelesaian rendah karbon dalam tiga tawaran teras iaitu boleh baharu, hidrogen dan mobiliti hijau," katanya selepas mengumumkan prestasi kewangan suku keempat dan tahun penuh berakhir 31 Disember 2021 Petronas, di sini hari ini.
Tengku Muhammad Taufik berkata unit pengurusan karbon itu akan mempercepat usaha penyahkarbonan kumpulan itu merentasi seluruh rantaian nilai bersepadu.
Petronas turut bercadang membelanjakan capex antara RM40 bilion dan RM50 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, sejajar dengan harga minyak yang lebih tinggi berbanding RM30.5 bilion pada tahun kewangan 2021.
Tengku Muhammad Taufik berkata capex itu akan dibahagikan sama rata di antara operasi domestik dan antarabangsa.
"Terdapat penurunan dari segi capex kami pada tahun lepas berikutan harga minyak mentah Brent. Susulan lonjakan harga minyak, panduan capex kami tentunya akan kembali kepada lingkungan paras RM40 bilion hingga RM50 bilion," katanya.
Petronas mengumumkan dividen RM25 bilion bagi tahun kewangan 2021.
-- BERNAMA