Petronas akan tambah pengeluaran harian kepada 2.7 juta Boe
Bernama
Jun 7, 2023 20:31 MYT
Jun 7, 2023 20:31 MYT
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan meningkatkan pengeluaran hariannya kepada 2.7 juta tong setara minyak (Boe) bagi tempoh berbaki tahun ini daripada 2.5 juta Boe ketika ini untuk mengekalkan keuntungan kukuh dalam keadaan harga minyak mentah yang rendah.
Bercakap dalam sesi taklimat media bersama editor pada Selasa sebelum pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi suku pertama tahun kewangan 2023 hari ini, beliau berkata prospek industri tenaga juga dilihat sebagai mencabar bagi tempoh berbaki tahun ini.
Menurutnya, keadaan itu disebabkan oleh persekitaran operasi yang lebih kompleks, penurunan margin keuntungan dalam usaha peralihan tenaga selain faktor seperti ketidaktentuan harga minyak mentah dan tahap pemulihan ekonomi China, ketegangan geopolitik dan margin keuntungan industri petrokimia yang rendah.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Liza Mustapha berkata Petronas mengunjurkan harga minyak mentah mencatat purata AS$81-AS$85 setong untuk sepanjang 2023.
Mengulas impak senario penurunan harga minyak mentah, Tengku Muhammad Taufik bagaimanapun optimis syarikat minyak dan gas negara itu masih mampu untuk memberi komitmen dari segi pemberian dividen sebanyak RM40 bilion kepada kerajaan sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023, berdasarkan paras aliran tunai Petronas.
Menurut laporan, aliran tunai daripada aktiviti operasinya berjumlah RM25.5 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2023.
Ditanya mengenai isu subsidi dan tarif tenaga bagi kumpulan berpendapatan 20 peratus teratas (T20), beliau berkata pihaknya telah dihubungi oleh kerajaan untuk membincangkan kaedah bagi mengekang kos subsidi tenaga di masa akan datang.
Bagi kemajuan masa depan kumpulan, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas akan terus melabur dalam usaha cari gali serta pengeluaran hidrokarbon.
Petronas akan turut melaksanakan pelaburan semula dalam sektor tenaga bersih susulan penubuhan cabang pelaburan tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd, pada Jun tahun lepas dan telah memperuntukkan sejumlah RM25 bilion dalam suku pertama tahun kewangan 2023 bagi tujuan penyahkarbonan selaras usahanya dalam aspek tenaga bersih.
-- BERNAMA