Petronas akan bayar dividen RM40 bilion kepada kerajaan tahun ini
Bernama
Ogos 31, 2023 07:30 MYT
Ogos 31, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membayar dividen berjumlah RM40 bilion kepada kerajaan tahun ini iaitu RM5 bilion lebih berbanding RM35 bilion yang diumumkan sebelum ini.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Liza Mustapha berkata pembayaran dividen itu dibuat berdasarkan kepada kemampuan Petronas.
"Ia adalah unjuran jangka panjang dalam perbincangan yang kami ada dengan pemegang saham kami. Kami mengambil pandangan yang agak jauh (dalam) perbincangan kami, bukan setakat untuk 12 bulan akan datang tetapi katakanlah, sehingga ke 2030.
"(Mengenai persoalan) sama ada apa yang kami belanjakan untuk perniagaan baharu akan menjejaskan dividen, sebenarnya saya ingin katakan sebaliknya, kami mengatur (pendekatan) daripada atas ke bawah dalam peruntukan modal.
"Kami akan mengetepikan secara purata 20 peratus daripada perbelanjaan modal (capex) untuk perniagaan dan pelaburan baharu bagi mendapatkan tenaga baharu," katanya kepada pemberita pada pengumuman prestasi kewangan separuh pertama 2023 Petronas.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat minyak negara itu perlu memastikan keselamatan bekalan tenaga yang menggunakan hidrokarbon berterusan.
"Permintaan tenaga akan bertambah. Sistem (tenaga) baharu tidak akan wujud dalam tempoh satu atau dua tahun... kami perlu memastikan permintaan (semasa) terus ditangani," katanya sambil menambah kumpulan itu perlu mengetepikan "penampan" bagi meneruskan perniagaan seperti biasa.
-- BERNAMA