Petron nampak potensi besar dalam perniagaan pelincir
Bernama
Januari 5, 2016 13:03 MYT
Januari 5, 2016 13:03 MYT
Petron Corporation melihat potensi yang besar dalam perniagaan minyak pelincir di Malaysia.
Petron Corporation ialah syarikat penapisan dan pemasaran minyak terbesar Filipina.
Ketua Perniagaan Komersialnya Choong Kum Choy berkata perniagaan pelincir Petron bermula dengan baik dan mencatat keuntungan pada tahun pertama operasinya di Malaysia pada 2012.
Malah, perniagaan pelincir kami berkembang lapan peratus pada sembilan bulan pertama tahun lepas berbanding tempoh yang sama pada 2014, " katanya kepada Bernama semasa lawatan beliau ke ibu pejabat agensi berita nasional itu di sini baru-baru ini.
Mengakui pentingnya penerimaan dan membiasakan jenama, beliau berkata Petron mempunyai kelebihan daya saing berdasarkan rangkaian besar stesen servisnya yang ketara dan meyakinkan.
"Penerimaan dan kebiasaan jenama merupakan asas kejayaan yang boleh dicapai dalam pasaran ini,"katanya.
Choong berkata bagi meningkatkan penerimaan pasaran, syarikat itu menawarkan perkhidmatan sokongan teknikal yang cekap, yang mampu memberikan nasihat pakar dan sokongan bagi kebanyakan aplikasi.
Beliau berkata walaupun merupakan penggiat baharu dalam pasaran minyak pelincir di Malaysia, Petron mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan dengan menjadi pembekal utama di Filipina dan turut beroperasi di negara lain di seluruh dunia.
"Kami telah menjalankan pembangunan produk yang teliti selama lebih 80 tahun bagi memastikan minyak pelincir premium kami memenuhi standard pengeluar peralatan asal," katanya.
Choong berkata syarikat itu menawarkan pelbagai jenama minyak pelincir, daripada petrol dan enjin diesel serta pelbagai minyak industri, gris dan produk khusus.
Bagi enjin petrol, beliau berkata Petron menawarkan siri minyak enjin 'Blaze Racing' daripada sintetik sepenuhnya, semi-sintetik serta gred mineral.
"Minyak enjin Blaze Racing dirumuskan khas dengan TS3 (sistem penstabil stres Termal), satu teknologi eksklusif untuk menjaga kestabilan minyak pada suhu yang melampau dan tekanan enjin.
"Bagi enjin diesel, kami mempunyai siri 'Rev-X' yang terdiri daripada sintetik sepenuhnya untuk gred premium dan dirumuskan dengan DC Tech (Pembersihan Teknologi dinamik)," katanya.
Choong berkata teknologi itu memberikan tindakan kuat dalam pembersihan dan perlindungan enjin dan mengatasi tahap kualiti minyak enjin tugas berat terbaharu banyak pembangun enjin utama.