Petron, Klean kerjasama sediakan mesin kitar semula berasaskan AI pertama di Malaysia

Dagang News
Februari 29, 2024 11:50 MYT
Petron berharap mesin RVM Klean yang dipasang di stesen minyak akan memainkan peranan meningkatkan pemahaman dan komitmen orang ramai terhadap pelupusan plastik dengan bertanggungjawab. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Petron Malaysia menjalin kerjasama dengan Klean Malaysia untuk menggalakkan lebih ramai orang mengitar semula melalui sistem deposit kontena digital.
Petron memaklumkan, pelanggan boleh mengitar semula bekas makanan plastik, botol 'polyethylene terephthalate (PET)' dan tin aluminium di mesin layan diri RVM (Reverse Vending Machine) pertama dan mengumpul mata ganjaran melalui Aplikasi Kitar Semula Klean untuk penebusan baucar.
Katanya, Petron baru-baru ini mengaktifkan RVM yang berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) di stesen minyak Petron Lebuh Bandar Utama, sebagai salah satu usahanya di dalam mempromosikan kitar semula plastik.
"Inisiatif baharu Petron ini bertujuan untuk memupuk sifat kitar semula dalam tingkah laku masyarakat, yang mana ianya merupakan langkah pertama ke arah pelaksanaan ekonomi kitaran.
"Ia selari dengan komitmen syarikat Petron untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 11 dan 12 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 ke arah kitaran plastik," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek berkata, plastik masih digunakan secara meluas di rumah mahupun di pejabat walaupun ia menyumbang kepada pencemaran.
"Oleh itu, matlamat utama yang perlu kita semua lakukan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penggunaan plastik dengan bertanggungjawab dan memastikan sisa plastik dipulihkan dan dialihkan dari tapak pelupusan.
"Kerjasama dengan Klean Malaysia adalah pengubah keadaan, ataupun ‘game-changer’ dalam kitar semula. Kami berharap RVM Klean yang dipasang di stesen minyak kami akan memainkan peranan dalam meningkatkan pemahaman dan komitmen orang ramai terhadap pelupusan plastik dengan bertanggungjawab," katanya.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Klean, Syed Zain Almohdzar pula berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran sama seperti Petron Malaysia bagi melindungi alam sekitar untuk masa depan yang lestari.
"Kami adalah ekosistem RVM pertama yang disertakan dengan skim ganjaran. Klean telah memasang lebih dari 60 mesin RVM di Malaysia, ditempatkan secara strategik di kawasan berpenduduk padat seperti sekolah, lapangan terbang, hab pengangkutan dan pusat membeli-belah.
"Kami berhasrat untuk meluaskan lagi rangkaian mesin kami dan juga menambah liputan mesin kami ke lebih banyak lokasi stesen minyak Petron. Kami ingin mendorong perubahan tingkah laku terhadap kitar semula melalui pendidikan dan insentif, dengan matlamat utama untuk mencapai sifar tapak pelupusan sampah," katanya.
Dalam beberapa bulan akan datang, Petron menyasarkan untuk memasang mesin Klean di sekitar 100 lokasi di Lembah Klang dengan tujuan untuk memupuk kelestarian alam sekitar dalam komunitinya. - DagangNews.com
#Petron Malaysia #kitar semula #Klean Malaysia #mesin RVM
;