Pesuruhjaya Tinggi India kunjungi pejabat Mustapa

Bernama
Februari 7, 2014 17:41 MYT
Datuk Seri Mustapa Mohamed - Gambar Fail
Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, T.S. Tirumurti, hari ini mengunjungi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di pejabatnya.
Semasa pertemuan tersebut, Tirumurti menyentuh tentang hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala yang sangat baik antara Malaysia dan India.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di sini, kedua-dua pihak melahirkan rasa puas hati dengan peningkatan perniagaan dan minat korporat antara negara satu sama lain dan menekankan kepada potensi besar pertumbuhan seterusnya dalam perdagangan dan pelaburan.
Mereka juga membincangkan lawatan Mustapa ke India yang mencapai kejayaan di mana beliau mengetuai misi perdagangan dan pelaburan PKS Malaysia disertai 30 syarikat pada 27-30 Jan lepas.
Semasa lawatan beliau ke Bangalore, Mustapa menyertai Sidang Kemuncak Perkongsian 2014, yang dianjurkan oleh Confederation of Indian Industry, bersama dengan Kementerian Perdagangan dan Industri India.
Beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anand Sharma, Menteri Perdagangan dan Industri India, pada 27 Jan.
Mereka juga diberi taklimat oleh Pengerusi Bersama Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) India-Malaysia mengenai isu-isu yang dibincangkan oleh para CEO.
#India #Mustapa Mohamed #Pesuruhjaya Tinggi India #T.S. Tirumurti
;