Peserta industri halal sasar pasaran baru muncul di Asia Tengah
Bernama
April 7, 2017 07:28 MYT
April 7, 2017 07:28 MYT
Industri halal di Rusia dan di negara-negara yang berjiran dengannya semakin pesat berkembang walaupun persekitaran ekonomi global lembap.
Peserta industri kini meninjau peluang di pasaran yang baru muncul di Asia Tengah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekspo Halal Moscow Kirill Skogorev berkata Rusia menyaksikan pertumbuhan jualan sebanyak 10 peratus dalam sektor halal setiap tahun.
"Sebanyak 20 peratus daripada 146 juta penduduk Rusia beragama Islam dan keperluan kepada produk halal adalah besar.
"Peserta industri halal perlu melihat potensi pasaran tersebut yang terdapat dalam kalangan Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS), yang mempunyai 300 juta penduduk Islam," katanya kepada Bernama selepas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Silver Plus Manufacturing (Thailand) Co Ltd di sini pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Silver Plus Thailand, Man Petchvanichsakul, dan Skogorev menandatangani MOU tersebut di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 di sini.
Perjanjian tersebut bagi menghimpunkan sekurang-kurangnya 250 syarikat yang berpangkalan di Thailand dan disahkan halal untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di Ekspo Halal Moscow pada November ini.
Skogorev berkata pameran tersebut menyasar untuk melihat penyertaan 80 peratus perusahaan kecil dan sederhana dan 20 peratus lagi pameran produk premium.
-- BERNAMA