Pesawat Airbus A321LR jadi pilihan pengembangan armada AirAsia

Bernama
Februari 23, 2024 08:00 MYT
Tony Fernandes menyambut ketibaan Christian Scherer (kanan) yang hadir bagi melawat AirAsia RedQ di Sepang semalam. --fotoBERNAMA
SEPANG: AirAsia Group Bhd menyusun semula senarai tempahan pesawatnya secara besar-besaran daripada Airbus, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau berkata daripada 362 pesawat A321neo (pilihan enjin baharu), 36 pesawat telah ditukar kepada A321LR (jarak jauh).
Pesawat A321LR dijadualkan dihantar mulai 2025, kata Fernandes sambil menambah langkah itu membolehkan syarikat mengembangkan armada pesawat berbadan kecil dengan memperkenalkan pesawat A321XLR (jarak tambahan lebih jauh) dan A321LR, yang akan menggantikan pesawat tambang rendah utamanya jenis A320.
"Pesawat spesifikasi baharu ini akan membolehkan lebih fleksibiliti pada laluan jarak dekat hingga sederhana sedia ada dan pengembangan rangkaian ke pasaran sekunder seperti Asia Utara, Australia dan Asia Tengah dari Asia Tenggara.
"Saya menjangkakan AirAsia akan mula terbang ke Kenya, Afrika menjelang akhir tahun," katanya kepada media semasa lawatan pemimpin Airbus ke Ibu Pejabat Korporat AirAsia di sini semalam.
Turut hadir CEO Perniagaan Pesawat Komersial Airbus, Christian Scherer yang baharu dilantik pada Januari 2024.
Fernandes berkata AirAsia akan menerima semula penghantaran pesawat A321neonya sejajar dengan unjuran permintaan yang kukuh, bermula dengan pesawat pertama selepas pandemik yang dijangka pada Jun dan 24 pesawat lagi sepanjang tahun.
Beliau berkata komitmen syarikat terhadap syarikat aeroangkasa multinasional dari Eropah itu tidak pernah goyah, walaupun telah melalui era pandemik.
"Sebagai salah satu pelanggan terbesar mereka, kami mempunyai buku pesanan sebanyak 647 pesawat terdiri daripada 612 pesawat A320 Family dan 35 pesawat A330 Family dan lagi 362 pesawat A321neo, 20 pesawat A321XLR dan 15 pesawat A330neo yang akan dihantar sepanjang dekad akan datang," kata Fernandes.
Mengenai prospek syarikat, beliau optimis AirAsia akan menjadi salah satu pengendali terbesar pesawat Airbus baharu dengan spesifikasi jarak yang lebih jauh, jimat bahan api dan berbadan sempit.
"Bagi armada Airbus A330 berbadan lebar kami, termasuk pengenalan A330neo, kami sedang mencari peluang untuk mengembangkan rangkaian jarak sederhana hingga jauh kami ke benua Eropah.
"Peluasan rangkaian adalah ke bandar-bandar seperti London, Paris, Amsterdam, Bratislava, Barcelona, Copenhagen, Afrika (Kaherah, Nairobi, Cape Town), Pantai Timur Amerika Utara (New York, Miami, Toronto) melalui Eropah dan Pantai Barat Amerika Utara (San Francisco, Los Angeles, Vancouver) melalui Jepun," kata Fernandes.
-- BERNAMA
#AirAsia #Tony Fernandes #Airbus A321LR #Christian Scherer
;