Pesawat A380 Emirates kembali beroperasi untuk laluan KL-Dubai mulai Disember

Bernama
Ogos 26, 2022 22:13 MYT
Syarikat penerbangan itu pada masa ini menggunakan pesawat Boeing 777, sebanyak 11 kali seminggu antara dua bandar itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Emirates Airline (Emirates) yang berpangkalan di Dubai akan meyambung semula operasi pesawat A380 untuk laluan Kuala Lumpur-Dubai mulai 1 Disember, 2022 untuk memenuhi peningkatan permintaan.
Syarikat penerbangan itu pada masa ini menggunakan pesawat Boeing 777, sebanyak 11 kali seminggu antara dua bandar itu di mana penumpang boleh menyambung melakukan perjalanan udara ke lebih 130 destinasi di enam benua.
Perkhidmatan A380 Emirates ke Kuala Lumpur, EK 346 akan berlepas dari Dubai pada 0330 pagi, mendarat pada 2.35 petang. EK 343 pula akan berlepas dari Kuala Lumpur pada 1.45 pagi dan tiba di Dubai pada 5.05 pagi manakala penerbangan Emirates EK342/345 akan terus beroperasi dengan pesawat Boeing 777.
Pengurus Negara Emirates untuk Malaysia Mohammad Al Attar berkata terdapat permintaan terpendam untuk laluan tersebut.
"Ini juga peluang untuk Emirates memainkan peranan kami dalam memberikan nafas baharu kepada sektor pelancongan dan pelancongan di Malaysia, Dubai dan lain-lain berikutan cabaran dua tahun lalu (semasa pandemik)," katanya.
Awal tahun ini, syarikat itu menandatangani memorandum kerjasama dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia untuk membangunkan kemasukan trafik ke Malaysia daripada pasaran strategik utama syarikat penerbangan itu seterusnya membantu meningkatkan industri pelancongan dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang unik.
-- BERNAMA
#Emirates #KL-Dubai #penerbangan #a380 #pesawat #Kuala Lumpur #Dubai
;