Peruntukan RM79.2 juta bagi perkhidmatan SBST di Kuching - Loke
Bernama
Oktober 11, 2024 06:45 MYT
Oktober 11, 2024 06:45 MYT
KUCHING: Sebanyak 56 bas disediakan menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di sekitar bandar raya ini melibatkan peruntukan RM79.2 juta bagi tempoh lima tahun, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata sistem pengangkutan awam yang bakal bermula tahun hadapan itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Sistem Pengesanan Global (GPS) dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
"Operator perkhidmatan bas ini akan dibayar oleh kita dan bajet kita lebih kurang RM16 juta setahun. Jadi kita tahu berapa kita perlu bayar mereka secara bulanan ikut perjanjian.
"Sekiranya mereka tidak ikut perjanjian ditetapkan, bayaran kepada pihak operator akan dipotong. Kita akan semak GPS mereka sama ada mereka beroperasi dan sejauh mana bas itu bergerak dan waktu operasi," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di sini semalam.
Menurut beliau, bagi mengelakkan pembaziran sumber perkhidmatan bas, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi memastikan laluan bas SBST tidak bertindih dengan laluan perkhidmatan bas hidrogen yang digerakkan oleh kerajaan negeri.
Loke turut memberi jaminan harga tambang bas SBST adalah berpatutan serta tidak membebankan pengguna.
"Penetapan harga tambang akan dibuat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Kita akan bincang dengan mereka dan sudah tentu tidak akan membebankan pengguna kerana kita sudah bayar kosnya. Jadi kotak tambang itu nanti hanya untuk menampung perbelanjaannya (program)," katanya.
Terdahulu, Loke menyaksikan majlis menandatangani perjanjian SBST antara Kerajaan Persekutuan dan Biaramas Express Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat berpangkalan di Sarawak.
Perkhidmatan bas bagi program SBST di Kuching akan menyediakan 10 laluan secara keseluruhan iaitu ke Bau, Serian, Bako, Kampung Benuk, Batu Kawa, King Centre, Muara Tebas, Taman Malihah, Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Matang 2.
Program SBST akan diperkenalkan di setiap ibu negeri di seluruh Malaysia bertujuan meningkatkan kebolehcapaian, kepercayaan dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam.
-- BERNAMA