Peruntukan RM30 juta kepada usahawan bergerak pada 2017

Bernama
November 13, 2016 12:41 MYT
3,000 usahawan baharu di bawah program usahawan bergerak akan dilatih. - Gambar hiasan
Sebanyak RM30 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk program 'mobilepreneur' atau usahawan bergerak termasuk melatih 3,000 usahawan baharu di bawah konsep itu di seluruh negara pada 2017.
Pengerusi Giat Mara, Datuk Azian Osman berkata penambahan peruntukan berbanding hanya RM5 juta pada tahun ini, dibuat dengan mengambil kira hasil kejayaan program tersebut di seluruh negara.
"Penambahan peruntukan itu merupakan antara usaha kerajaan memberi galakan kepada usahawan baharu serta membantu usahawan sedia ada menambah pendapatan mereka.
"Tahun ini peruntukan diberi adalah RM5 juta untuk diagihkan kepada 500 'mobilepreneur' termasuk 300 pelatih dari Giat Mara," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Karnival Technopreneur Negeri Perak 2016 di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.
Karnival selama tiga hari di Dataran Angsana Ipoh Mall di sini, bermula Jumaat, anjuran Giat Mara dengan kerjasama kerajaan negeri Perak, merupakan platform untuk pelatih dan usahawan menjalankan perniagaan.
Menjelas lanjut mengenai 'mobilepreneur', Azian berkata kaji selidik yang dijalankan mendapati pendapatan usahawan yang menyertai program itu meningkat lebih 50 peratus.
Katanya, kos yang diperuntukkan untuk seorang usahawan bergerak adalah sebanyak RM10,000 merangkumi latihan serta sebuah motosikal lengkap dengan peralatan berniaga.
"Aktiviti perniagaan secara bergerak menggunakan motosikal lebih berorientasikan kepada perkhidmatan mesra pelanggan dan produktif.
"Mobilepreneur ini lebih mengutamakan usahawan yang menjalankan perniagaan perkhidmatan teknikal seperti membaiki penghawa dingin, elektrik, persolekan dan automotif kerana memudahkan mereka bergerak," katanya.
-- BERNAMA
#azian osman #bisnes #niaga #peruntukan #usahawan bergerak