Perubahan dasar perdagangan AS: 5 kesan kepada ekonomi Malaysia

Nabilah Khaleeda
Mac 7, 2025 12:00 MYT
Peningkatan perbelanjaan swasta dijangka menjadi faktor penyokong utama pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, di sebalik erubahan dasar perdagangan AS. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) sering memberi kesan global, termasuk ekonomi Malaysia.
Kenaikan tarif import terhadap China, Kanada, dan Mexico boleh mempengaruhi perdagangan luar negara.
Namun, apakah impak sebenar ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini?
Berikut adalah lima kesan utama berdasarkan pandangan pakar ekonomi menurut Pakar Ekonomi, MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim.
1️⃣ Kejatuhan Eksport AS Mempengaruhi Malaysia
Penurunan eksport AS sebanyak 10 peratus boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia sekitar 1-1.3 peratus, mengambil kira jumlah eksport negara ke AS pada tahun sebelumnya.
2️⃣ Penurunan Import Mengimbangi Kesan Negatif
Jika pengeluaran turut merosot, permintaan terhadap bahan mentah, barangan input, dan separa siap juga akan berkurang. Ini boleh mengurangkan impak negatif ke atas ekonomi Malaysia.
3️⃣ Pengalaman 2023 Menunjukkan Daya Tahan Ekonomi
Walaupun eksport Malaysia menguncup sebanyak 8 peratus pada 2023 dan import menurun 6.4 peratus, ekonomi negara masih mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus, menunjukkan daya tahan melalui sokongan pertumbuhan domestik.
4️⃣ Pasaran Buruh yang Kukuh Menyokong Ekonomi
Kadar penyertaan tenaga buruh dalam ekonomi Malaysia terus meningkat kepada 70.5 peratus, mencerminkan lebih ramai rakyat yang bekerja dan mampu berbelanja, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi.
5️⃣ Perbelanjaan Swasta Jadi Pemacu Utama
Dengan lebih ramai rakyat bekerja, aktiviti perbelanjaan swasta dijangka terus meningkat, menjadi faktor utama yang mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini.
Walaupun perubahan dasar perdagangan AS memberi cabaran kepada perdagangan luar Malaysia, daya tahan ekonomi domestik, pasaran buruh yang kukuh, dan peningkatan perbelanjaan swasta dijangka menjadi faktor penyokong utama pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat.
#dasar perdagangan #ekonomi malaysia #Abdul Mui zz Morhalim #kesan global
;