Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul lebih kukuh 5.6 peratus pada Jun - BNM
Bernama
Julai 31, 2024 22:46 MYT
Julai 31, 2024 22:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul lebih kukuh 5.6 peratus pada Jun 2024 berbanding 4.8 peratus pada Mei, disokong oleh pinjaman modal kerja dan pinjaman berkaitan pelaburan.
Bank Negara Malaysia (BNM), dalam Sorotan Bulanan Jun 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.
Ia berkata pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal pada 5.4 peratus pada Jun, sama seperti bulan sebelumnya, berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul sebanyak enam peratus (Mei 2024: 5.7 peratus).
Sementara itu, bon korporat terkumpul berkembang pada kadar yang lebih sederhana iaitu 3.4 peratus (Mei 2024: 4 peratus).
"Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul stabil pada 6.2 peratus (Mei 2024: 6.3 peratus) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan bagi kebanyakan tujuan pinjaman," kata bank pusat.
BNM berkata sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 155.2 peratus pada Jun (Mei 2024: 149.7 peratus).
Selain itu, agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83 peratus pada Jun berbanding 82.2 peratus pada Mei 2024.
Bank pusat berkata pada Jun, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menekankan keperluan untuk terus membenarkan dasar monetari yang ketat sementara menunggu perkembangan selanjutnya berkaitan inflasi AS dan pasaran pekerja.
Dalam keadaan ini, peserta pasaran kewangan terus menjangkakan hanya satu atau dua pemotongan kadar oleh Fed menjelang akhir 2024, kata BNM.
Dari segi mata wang tempatan, nilai ringgit menurun sebanyak 0.3 peratus berbanding dolar AS, sejajardengan kebanyakan mata wang serantau (purata mata wang serantau: -0.4%).
"Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun menurun sebanyak tiga mata asas seiringdengan penurunan kadar hasil bon AS, sementara FBM KLCI didagangkan 0.4 peratus lebih rendah," katanya.
Sementara itu, Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal tidak berubah untuk Jun, masing-masing pada dua peratus dan 1.9 peratus.
Inflasi pengangkutan meningkat kepada 1.2 peratus (Mei 2024: 0.9 peratus), didorong terutamanya oleh pelarasan harga diesel.
Pada masa yang sama, inflasi makanan di rumah juga mencatatkan peningkatan pada Jun iaitu sebanyak 0.9 peratus (Mei 2024: 0.5 peratus), disebabkan terutamanya oleh makanan laut segar dan sayur-sayuran.
"Bagaimanapun, ia diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori pakaian dankasut serta makanan di luar rumah," katanya.
-- BERNAMA