Pertumbuhan pinjaman industri perbankan 5.4 peratus seiring jangkaan bagi tahun ini
Bernama
Mei 6, 2024 16:49 MYT
Mei 6, 2024 16:49 MYT
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan sebanyak 5.4 peratus setakat tahun ini, adalah sejajar dengan unjuran julat pertumbuhan 4.0-5.0 peratus bagi 2024, kata AmInvestment Bank Bhd.
Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu berkata pertumbuhan pinjaman industri berkenaan meningkat sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024 berbanding 5.8 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan lebih kukuh dalam pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah.
"Pertumbuhan pinjaman isi rumah meningkat sedikit pada 6.3 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024 berbanding 6.2 peratus sebulan sebelumnya dengan pertumbuhan kekal meningkat bagi segmen gadai janji dan pinjaman peribadi," katanya.
Bank pelaburan itu berkata pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah pada Mac 2024 turut meningkat kepada 5.5 peratus tahun ke tahun daripada 5.3 peratus pada Februari 2024, disumbangkan terutamanya oleh tahap pembiayaan kukuh bagi sektor pengangkutan, penyimpanan, komunikasi, kewangan, insurans dan perniagaan.
"Momentum bagi permohonan pinjaman kekal perlahan namun Mac 2024 menyaksikan keadaan lebih baik bagi kelulusan pinjaman bukan isi rumah.
"Pergerakan dalam kelulusan pinjaman sistem perbankan secara menyeluruh adalah negatif 12.3 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024 berbanding negatif 18.6 peratus tahun ke tahun pada Februari 2024," katanya.
Selain itu, AmInvestment Bank berkata bahawa rosot nilai pinjaman dan peruntukan berkurangan pada Mac 2024.
"Pinjaman terjejas kasar industri dan pinjaman terjejas bersih kekal stabil masing-masing pada 1.6 peratus dan 1.1 peratus.
"Pinjaman terjejas tertunggak industri susut sebanyak 0.7 peratus bulan ke bulan atau RM259 juta pada Mac 2024," katanya.
Secara keseluruhannya, bank itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor berkenaan dan menjangkakan kadar dasar semalaman kekal pada 3.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang dijadualkan pada 9 Mei, 2024.
-- BERNAMA
#pinjaman industri perbankan
#AmInvestment Bank
#disokong oleh pertumbuhan lebih kukuh
#pinjaman isi rumah