Pertumbuhan pinjaman bank diunjur lebih perlahan jika KDNK lebih lemah daripada jangkaan - Maybank IB
Dagang News
September 4, 2023 12:15 MYT
September 4, 2023 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Sektor perbankan berdepan beberapa risiko termasuk pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan sekiranya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi lebih lemah daripada jangkaan.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pertumbuhan pinjaman terus menjadi menyederhana pada Julai 2023 kepada 4.2% dari tahun ke tahun, dengan kelemahan selanjutnya dalam permintaan pinjaman bukan isi rumah.
Firma penyelidikan itu berkata, permohonan pinjaman menguncup untuk bulan kedua dan peningkatan dalam aktiviti perniagaan diperlukan bagi menyokong permintaan pinjaman perniagaan.
Katanya, potensi pemotongan kadar faedah yang boleh memberi kesan negatif kepada margin faedah dalam jangka pendek.
"Inflasi keseluruhan menurun lagi kepada 2.0% pada Julai daripada 2.4% pada Jun 2023. Hasilnya, pulangan ke atas deposit bertambah baik pada bulan tersebut.
"Ini adalah positif, kerana ia melegakan tekanan untuk kenaikan kadar faedah. Kami bagaimanapun kekal positif terhadap sektor perbankan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Maybank IB berkata, pertumbuhan deposit menjadi perlahan kepada 3.5% pada Julai 2023 berbanding 3.9% pada Jun 2023.
Katanya, akaun semasa dan simpanan (CASA) menguncup untuk bulan ketujuh berturut-turut, penguncupan adalah 4.2%, tidak berubah dari Jun 2023.
"Nisbah CASA industri lebih rendah dari bulan ke bulan pada 29% akhir Julai 2023 berbanding 29.3% akhir Jun 2023.
"Ini berbanding nisbah CASA sebelum COVID-19 sebanyak 26.5% pada akhir Disember 2019 serta nisbah puncak sebanyak 32.9% pada April 2022," katanya. - DagangNews.com